
Satu perkara menarik apabila UK memulakan percubaan rakaman kamera di lebuh raya bagi mengesan pemandu yang mengekori kenderaan terlalu rapat.
Apa yang dimaksudkan dengan peraturan dua saat? (lebih dua saat pun boleh). Mudah sahaja, menurut Neil Worth, Ketua Pegawai Operasi GEM, lakukan seperti berikut:
- Apabila kenderaan depan melalui satu objek statik seperti pokok atau tiang lampu, sebutkan; "Hanya yang kurang cerdik melanggar peraturan dua saat,".
- Apabila anda melepasi objek statik tersebut sebelum sempat ayat dihabiskan ia bermakna anda memandu terlalu dekat.
Mudah bukan? Dengan ini anda boleh menyukat jarak kenderaan dengan ringkas dan praktikal.
Pada November 2020, Highways England memulakan percubaan kamera baharu bagi kesalahan mengekori rapat dan faktor yang menyumbang kepada satu daripada lapan korban jiwa di lebuh raya dan jalan utama di England.
Berikut ialah lagi tips keselamatan dari GEM:
- Gunakan peraturan dua saat dalam mana-mana perjalanan anda.
- Di dalam cuaca basah, peraturan dua saat menjadi empat saat disebabkan jarak penglihatan dan cengkaman tayar yang menurun di jalan basah. Jarak berhenti juga menjadi semakin panjang.
- Jangan anggap peraturan ini tidak terpakai kepada kereta moden dengan sistem brek canggih. Pembrekan yang berkesan dan melakukannya dengan awal tetap bergantung kepada sikap pemandu yang berwaspada.
- Periksa posisi duduk supaya anda dapat membrek dengan kuat dan secara mendadak jika diperlukan. Keadaan tersebut mungkin menjejaskan anda jika jarak kerusi terlalu dekat ke depan atau terlalu jauh ke belakang.
- Jadikan satu tabiat untuk memerhatikan apa yang ada di hadapan kenderaan depan. Sesuatu yang lebih awal dikesan dapat mengurangkan kejadian yang tidak diingini.
- Jika anda risau tentang pemandu yang mengekori terlalu rapat, sediakan lebih ruang di hadapan atau penjarakan supaya anda dapat mengurangkan kelajuan dengan tidak tergesa-gesa. Biarkan pemandu belakang memintas apabila keadaaan selamat dan akhirnya tidak menggangu anda.

Akhir sekali, berdasarkan pengalaman penulis di jalan raya tempatan, seseorang pemandu juga perlu mempunyai sikap yang betul dan jangan membolot laluan.
Elakkan dari memandu terlalu perlahan sehingga menyusahkan pemandu di belakang dan gunakan laluan lebuh raya yang betul.
Seperti tips yang diberikan GEM di atas, beri sahaja laluan kepada yang ingin memintas anda. Pemandu di belakang pula elakkan dari provokasi.
Penulis: Muhammad Md Tajudin