Motosikal biasa seperti kapchai dan skuter juga mula menggunakan ECU sejak undang-undang homologasi Malaysia memperketatkan dasar asap (emission) motosikal, menyebabkan motosikal perlu menggunakan sistem pancitan bahan api (fuel injection).
Mari kita sama-sama belajar secara ringkas apa itu ECU dan apa maksudnya penalaan ECU (ECU tuning).
Apa maksud ECU?
ECU bermaksud Engine Control Unit atau juga dikenali sebagai Engine Control Module (ECM).
Ia adalah satu peranti kawalan elektronik atau processor komputer yang mengawal beberapa penggerak (actuator) di dalam enjin yang mengawal antara lain:
- Kadar kemasukan udara
- Kadar kemasukan bahan api
- Tekanan bahan api di dalam sistem
Apa bagusnya ECU dalam motosikal?
Di zaman motosikal menggunakan karburetor, anda sentiasa terpaksa membuat penalaan kerana bila komponen seperti palam pencucuh dan jarum jet semakin lusuh, pemasaan enjin semakin berubah.
Contohnya enjin melahu (idling) terlalu perlahan. Akibatnya, anda boleh bawa motosikal ke kedai atau anda lakukan penalaan udara/bahan api sendiri.
Dengan adanya ECU, ia menggunakan deria-deria (sensor) untuk mengesan perubahan kelajuan enjin semasa melahu agar sentiasa lancar.
Kerana itu motosikal anda sekarang sangat lancar.
ECU juga membantu melancarkan penghantaran tenaga. Di zaman dahulu, jika pendikit dibuka luas terlalu pantas, enjin seperti tersedak.
Ada enjin yang langsung terbatul-batuk pada kelajuan rendah kerana nisbah udara dan bahan api tidak sesuai.
ECU mengkaji semua fenomena ini dan melakukan penalaan setiap masa. Akibat itu, hantaran tenaga jauh lebih lancar.
Ia seperti anda mempunyai sebuah kapchai dan anda sering menghantar kapchai anda ke kedai Ah Tiong untuk talaan.
Bayangkan Ah Tiong duduk 24-jam di dalam enjin.
Motosikal anda seperti sentiasa ditala untuk prestasi maksimum. dan penggunaan bahan api yang paling ekonomi.
Menarik bukan?
Jadi jika ECU sudah ditala dari kilang, kenapa perlu ditala kembali?
Talaan standard ECU dari kilang mempunyai parameter yang tetap.
Bacaan atau pemetaan ECU standard lebih memastikan:
- Kelancaran enjin dengan komponen standard
- Penggunaan bahan api paling ekonomi
- Meletakkan had maksimum pada putaran enjin agar enjin tahan lebih lama (rpm cut) atau tenaga dibataskan kepada kuasa kuda yang ditetapkan kerajaan.
- Membataskan kelajuan maksimum motosikal mengikut garisan undang-undang kerajaan
- Memberikan respon yang lebih sesuai dengan sasaran pasaran. Contohnya, jika motosikal itu lebih untuk santai, graf hantaran tenaga tidak begitu agresif.
Jadi bila saya perlu membuat penalaan ECU?
Jika kenderaan anda standard dan anda sudah puas hati, tidak perlu membuat talaan ECU.
Tetapi jika anda ada salah satu dari sebab dibawah, penalaan ECU sangat perlu.
- Anda mahu lebih tenaga (walaupun mungkinkandungan asap lebih kotor atau penggunaan bahan api tinggi sedikit)
- Anda mahu buang speed-cut (batasan halaju) yang selalu ada pada kenderaan yang diimport dari Jepun (180 kmsj) atau Jerman (250 kmsj).
- Anda telah tukar komponen penting enjin dan kod salah (error code) timbul.
- Anda tukar sistem ekzos dan enjin perlu dipadankan dengan ekzos yang lebih lawas itu.
Adakah penalaan ECU mampu menjadikan motosikal saya lebih bertenaga?
Ya, jika ia dilakukan dengan betul, anda akan dapat lebihan tenaga.
Cuma janganlah anggap selepas penalaan ECU dilakukan, Yamaha Y Suku anda mampu menggigit Yamaha R1 pula.
Kalau boleh, penulis sendiri mahukan ECU itu untuk Ego S di rumah supaya boleh mengekor punggung T-Max.
Bagaimana kita hendak tahu penalaan itu dilakukan dengan betul-betul berkesan? Ke saya cuma perlu percaya cakap dia sahaja?
Hanya lakukan penalaan di kedai yang mempunyai dynometer.
Bacaan dyno perlu dibuat sebelum dan selepas penalaan ECU.
Ini sama juga dengan pemasangan ekzos dan penapis udara aftermarket. Di kotak dan di iklan, mereka boleh mengaku ada tambahan tenaga 10 peratus.
Malah, mereka pun boleh mengaku mereka lebih kacak dari penulis tetapi tanpa bukti bacaan dyno, semua itu kekal dakwaan semata-mata.
Adakah cara mudah dari penalaan ECU?
Ada.
Anda boleh beli dan pasang piggyback ECU (ECU tambahan) atau ECU baharu yang lengkap dengan pemetaan khusus untuk motosikal anda.
Beli dari jenama yang ternama dan cari di dalam media sosial pendapat pengguna yang telah membelinya.
Jangan terlalu malas. Kalau anda boleh Google mengenai selebriti perempuan muda, gunakan skil itu untuk pastikan RM anda tidak dibazirkan.