Apa itu Kos Penambahbaikan Untuk Kereta Berusia Lima Tahun dan Ke Atas?

oleh Mohamad Hanif|
Memiliki kenderaan berusia lebih daripada lima tahun ada kalanya mampu merungsingkan para pemilik disebabkan masalah alat ganti tulen yang sukar didapati, selain terpaksa bergantung harap kepada alat ganti terpakai, sekiranya ada.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jadi, apabila sesebuah kenderaan itu terlibat dalam kemalangan dan memerlukan pembaikan, kos penambahbaikan (betterment cost) kebiasaannya akan dikenakan terhadap pemilik polisi insurans.

Berdasarkan kepada panduan Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM), kos penambahbaikan ini bertujuan untuk meletakkan pemilik di dalam kondisi kewangan yang sama seperti sebelum kemalangan berlaku.

Dalam sesetengah keadaan, kos penambahbaikan ini adalah digalakkan sekiranya penggantian yang dilakukan itu mampu meningkatkan kadar nilai jual balik sesebuah kenderaan.

Pemilik polisi juga berhak mendapat pilihan untuk menggantikan komponen yang terjejas dengan alat ganti terpakai sekiranya mereka tidak mahu membayar caj tambahan yang disebutkan itu tadi.

Namun, dengan penggunaan alat ganti serba baharu dilihat bakal mengembalikan semula keadaan kenderaan kepada kondisi asal sebelum kemalangan, selain bertindak sebagai lapisan perlindungan tambahan serta keselamatan kepada pemilik.

 


Careta turut bertanyakan pendapat daripada Puneet Pasricha, CEO Liberty Insurance berhubung perlindungan cermin hadapan (windscreen) yang biasa diambil oleh kebanyakan pengguna di Malaysia.

Menurut Puneet, perlindungan terhadap cermin hadapan merupakan tambahan premium kepada polisi insurans yang melindungi cermin windscreen hadapan, tingkap sisi dan juga bumbung suria.

Di dalam situasi di mana cermin hadapan rosak akibat kemalangan, perlindungan yang diambil oleh pemegang polisi kebiasannya akan diteruskan sekiranya bahagian tersebut diperbaiki dan bukannya diganti baharu.

Sekiranya bahagian tersebut telah diganti baharu, pemilik polisi perlu membeli tambahan polisi baharu untuk terus menikmati perlindungan terhadap cermin windscreen.

 

Puneet Pasricha, CEO Liberty Insurance


Untuk memenuhi keperluan pelanggan, Liberty Insurance telah melancarkan pakej baharu yang dinamakan sebagai Private Car Ezy Plus Bundle yang menawarkan pelbagai opsyen perlindungan termasuklah perkhidmatan tunda tanpa had 24 jam, serta perlindungan terhadap pemandu dan penumpang sebagai manfaat standard.

Selain daripada itu, pakej yang ditawarkan itu juga turut merangkumi manfaat terpencil seperti perlindungan terhadap kerosakan cermin sisi, jaminan terhadap pembaikan kerja-kerja bengkel, serta opsyen untuk Waiver of Compulsory Excess untuk pemandu yang tidak dinamakan.

Para pemegang polisi Private Car Ezy Plus Bundle boleh menikmati kelebihan kelulusan terpantas untuk tuntutan kemalangan serta kerosakan cermin hadapan dengan bayaran premium tambahan serendah RM80.

Menurut Puneet lagi, proses liberalisasi industri insurans motor membolehkan para pengguna menikmati pilihan produk yang pelbagai dengan harga yang lebih berpatutan dan kompetitif, serta mampu untuk memenuhi keperluan pengguna.

Ia juga membolehkan pengendali insurans menawarkan lebih banyak premium dengan mengambil kira faktor risiko yang lebih meluas dan sebelum ini tidak dipertimbangkan di dalam tarif produk insurans motor.

Untuk mencapai satu ekosistem yang benar-benar bebas, Puneet menambah, terdapat keperluan untuk melakukan transformasi digital yang dapat menampung keperluan serta cabaran untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

 


"Sebagai contoh, syarikat kami telah mengintegrasikan Application Programming Interface (API) sebagai sebahagian daripada inisiatif penyelesaian digital bagi mencipta keupayaan saling kendali antara rakan perniagaan serta ejen. Dengan cara ini, ejen kami dapat membantu pelanggan mereka untuk memproses sendiri tuntutan mereka tanpa perlu melalui permohonan yang lebih kompleks.

"Malah, menerusi teknologi canggih Video Appraisal, kami telah berjaya menyelesaikan tuntutan kerosakan kepada para pemegang polisi kami yang duduk di kawasan yang dilanda banjir, di mana ia memendekkan proses tuntutan kepada dua hingga tiga hari sahaja berbanding tujuh hari menerusi proses terdahulu," tambah beliau lagi.

Untuk beralih kepada sebuah ekosistem yang benar-benar bebas bakal memakan masa, namun pergerakan pasaran semasa telah memperlihatkan kemajuan yang positif selari dengan perubahan industri yang relevan.