Apa itu corak Battenburg pada kereta peronda & kecemasan?

oleh Mohamad Hanif|
Jika anda perasan, sesetengah negara Eropah serta beberapa negara lain seperti New Zealand, Australia, dan Hong Kong menggunapakai corak penglihatan tinggi (high visibility marking) pada kenderaan kecemasan.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Tahukah anda, corak tersebut sebenarnya digelar sebagai corak Battenburg?

Nama corak Battenburg (atau Battenberg) merupakan nama yang diperoleh berdasarkan persamaan yang didapati pada corak kek span Battenberg yang berasal dari England.

 

sumber: Gambar Klasik

Zaman dulu-dulu, kereta peronda polis direka sama ada dengan warna tunggal (hitam atau putih) atau warna dua tona (hitam putih) bergantung kepada negara yang menggunakannya.

Namun, sebelum wujudnya rekaan Battenburg ini, rekaan liveri polis ala bendera berkotak (dengan warna hitam putih, atau biru putih) telah pun lama wujud pada tahun 1930-an, di mana rekaan tersebut pertama kali digunakan oleh City of Glasgow Police.

Dikenali sebagai Silitoe Tartan, rekaan yang melintangi bahagian sisi kereta polis ini tidak begitu berkesan terutama ketika bertugas di lebuhraya, dan adakalanya para pemandu tidak begitu perasan kehadiran kenderaan kecemasan dengan rekaan yang kecil ini.

 


Oleh sebab itu, pada pertengahan tahun 1990-an, wujud usaha untuk membangunkan rekaan Battenburg oleh Police Scientific Development Branch, UK dengan objektif untuk:

  • meningkatkan kadar penglihatan pada jarak 500 meter siang hari
  • tujuan keselamatan untuk mengelakkan pelanggaran terutama ketika kereta sedang berhenti
  • membolehkan umum mengesan kehadiran kenderaan kecemasan, seterusnya memberikan kerjasama terutama ketika keadaan memerlukan

 


Rekaan Battenbug ini menggunakan corak kontras antara warna terang dan warna gelap supaya ia lebih mudah dikesan dari mata manusia, di mana warna terang merupakan warna kuning fluorescent untuk penglihatan yang lebih jelas ketika siang hari, waktu senja dan awal pagi.

Manakala untuk penglihatan pada waktu malam, keseluruhan rekaan ini adalah bersifat retroreflektif, dengan efek seakan seperti mata kucing di biasa dilihat di atas jalan raya.

Corak Battenburg walaubagaimanapun tidak digunakan di bahagian belakang kenderaan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan, jadi kebanyakan kenderaan kecemasan terutama ambulans menggunakan rekaan chevron yang menghala ke atas dengan warna gandingan kuning/merah.