Apa itu butang O/D Off pada tombol gear?

oleh HEZERI SAMSURI|
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

 

Ini adalah antara topik paling suka kami baca di dalam Whatsapp Group kerana ada tidak kurang dari tiga teori yang kami dapat lihat.

  1. Ia memberikan suntikan tambahan tenaga dan digunakan bila hendak memotong. Mungkin mereka ini peminat setai Knight Rider dan terbayangkan butang Turbo Boost pada KITT.
  2. Ia sama fungsi seperti butang Sport seperti di dalam kenderaan-kenderaan modern, tetapi bila ditanya kenapa ada perkataan OFF pada panel meter, mereka menjawab "Oh itu tidak pasti".
  3. Ia adalah propaganda kerajaan dan ada kaitan dengan skandal-skandal BMF, FTG dan mungkin juga usaha kumpulan Illuminati. 

Baiklah, yang ketiga itu memang mengarut tetapi dua keterangan pertama itu memang kami sering dengar dan seperti biasa, Malaysian Rule akan diaktifkan (yang benar ditolak ke tepi, yang sensasi itu pasti cerita benar).

 

OD 1

 

Sebenarnya, O/D bermaksud Over-Drive dan ia adalah teknologi lama yang masih digunakan pada kenderaan-kenderaan yang menggunakan transmisi lama.

Tidak ada salahnya jika ia masih digunakan kerana transmisi yang terbukti tahan lasak memang sesuai untuk kenderaan mampu milik atau kenderaan yang lasak.

Over-Drive di sini bermaksud nisbah gear yang paling tinggi. Contohnya sekiranya transmisi anda ada lima nisbah, nisbah kelima ialah gear Over-Drive.

Sekiranya transmisi anda ada empat kelajuan, maka gear keempat itulah Over-Drive.

Nisbah gear paling tinggi digunakan semasa cruising atau memandu santai. Ia menjimatkan minyak kerana kelajuan enjin atau RPM berada di paras terendah.

Jadi bila butang O/D Off ditekan, transmisi automatik itu akan menggunakan hanya nisbah-nisbah yang di bawah.

Contohnya, jika butang O/D Off ditekan pada transmisi automatik 4-kelajuan, kenderaan anda hanya akan menggunakan nisbah gear 1 hingga 3.

Transmisi automatik memang dalam keadaaan normal, akan menggunakan kesemua nisbah yang ada agar ia lebih menjimatkan dan juga agar enjin berada dalam kelajuan yang optimum dan tidak berada di dalam tekanan atau stress.

Namun begitu, butang O/D Off direka kerana transmisi automatik itu tidak mempunyai komputer yang untuk membaca keadaan pemanduan. Seringkali, untuk transmisi dengan fungsi O/D Off ini akan terus naik ke nisbah tertinggi atau gear Over-Drive walaupun di dalam bandar atau di kawasan berbukit.

Hasilnya ialah transmisi automatik anda akan kerap menukar gear dari nisbah keempat turun ke nisbah ketiga, dan jika terlalu kerap, pemanduan tidak akan menjadi lancar.

Transmisi itu juga akan terus naik ke gear tertinggi walaupun keadaan jalan berbukit, dan anda akan sering rasa tidak cukup kuasa.

Bila keadaan tersebut berlaku, tekan butang O/D Off dan nisbah gear akan dihadkan ke gear ketiga dan kenderaan anda akan sentiasa berada di dalam banjaran tenaga. Ini memudahkan pemanduan kerana anda terasa enjin sentiasa bersedia untuk mendaki atau untuk memotong.

Satu lagi ketika di mana butang O/D Off boleh digunakan ialah bila mahu memotong di lebuhraya.

Dalam kelajuan 100 kmsj, transmisi selalunya sudah berada di dalam nisbah tertinggi atau gear Over-Drive. Bila hendak memotong, kita henyak kaki ke pedal pendikit dan tranmsisi akan secara automatik turun ke gear tiga.

Jika anda tidak suka menghenyak kaki ke pedal pendikit, tekan butang O/D Off dan transmisi akan terus turun ke gear ketiga, memberikan anda sedikit tenaga untuk memecut dan memotong.

Namun begitu risiko untuk over-rev akan wujud. Over-rev ialah bila jarum RPM pada tachometer sudah mencecah ke garis merah, bermakna operasi enjin berada di dalam zon merah dan ia sangat merbahaya untuk kesihatan enjin serta akaun bank anda.

Oleh itu, jangan tekan butang O/D Off jika anda sudah berada di dalam kelajuan yang tinggi. Atau pastikan berapakah kelajuan maksima untuk gear ketiga.

 

OD light

 

Kenapa ada lampu O/D Off bila ia digunakan? 

Bila Over/Drive ditutup, lampu O/D Off akan menyala dalam warna oren, dan lampu oren menandakan ia adalah satu amaran. Ini bermakna syarikat kenderaan tidak syorkan kenderaan anda dipandu dengan lama dalam keadaan itu. Bila Over-Drive ditutup, anda cuma menggunakan tiga gear pertama dan gear keempat atau nisbah tertinggi tidak digunakan - menjadikan enjin anda dipandu dalam keadaan RPM tinggi dan ini akan meningkatkan penggunaan bahan api dan menghauskan komponen enjin dengan lebih cepat.

Penggunakan fungsi O/D Off yang betul sebenarnya mampu membantu menjimatkan bahan api, tetapi hanya bila digunakan di kawasan atau di dalam situasi yang betul.

Oleh itu, pastikan fungsi O/D Off sering ditutup dan cuma gunakan bila perlu sahaja. 

Jika kereta anda tiada fungsi ini, jangan risau.

Ia bermakna anda menggunakan transmisi generasi yang lebih baharu dan datang dengan TCU atau Transmission Control Unit yang menggunakan komputer mini untuk membaca cara pemanduan dan keadaan trafik dan mampu berfikir dengan lebih bijak nisbah apa yang patut digunakan.