Apa itu Brek Parkir Elektrik - EPB

oleh HEZERI SAMSURI|
Brek parkir ialah brek yang anda gunakan ketika anda telah berhenti memandu dan akan meninggal kenderaan itu di petak parkir.

Ia datang dalam beberapa jenis - brek tangan (hand brake), brek parkir kaki (foot parking brake) dan brek parkir ditarik (pull parking brake).
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Sejak kebelakangan ini, anda boleh melihat kenderaan sudah mula menggunakan brek parkir elektrik atau Electric Parking Brake (EPB).

Walaupun dari segi teori ia nampak mudah, tetapi teknologi yang wujud itu membolehkan EPB digandingkan dengan pelbagai teknologi keselamatan yang lain.

EPB secara dasar ialah butang yang ditekan atau ditarik oleh pemandu yang akan menyebabkan brek diaplikasikan kepada roda belakang.

Ia menggunakan Unit Kawalan Elektronik (ECU) dan mekanisma aktuator (motor elektrik). Ada dua cara yang digunakan oleh syarikat kenderaan sekarang:

  • Sistem kabel yang berhubung terus dengan brek
  • Sistem integrasi yang digabungkan terus kepada angkup-angkup pada brek

EPB pertama kali dilihat di dalam BMW 7-Series tahun 2002 (E65) dan sekarang sudah mula menular kepada model-model lazim seperti Subaru XV dan sebagainya.

 

 

EPB juga boleh digabungkan dengan sistem Auto Hold, di mana brek hanya akan dilepakan apabila pemandu menekan pedal pendikit.

Ini sesuai untuk pemanduan di jalanraya yang penuh sesak kerana anda tidak perlu menekan pedal brek sentiasa. EPB akan terus beroperasi sehingga pendikit di tekan untuk anda berganjak ke hadapan.

Fungsi Hill-Hold juga sebenarnya boleh dimasukan di dalam sistem ini kerana brek akan beroperasi untuk lima ke tujuh saat, cukup untuk membolehkan anda mengangkat kaki dari pedal brek ke pendikit tanpa risau kenderaan anda menggelongsor ke belakang (penting jika anda berada di jalan curam).

Pada zaman dahulu, fungsi Hill Hold ini menggunakan tongkat besi yang akan menahan kenderaan dari menggelongsor ke belakang. Ia kemudian ditarik ke atas menggunakan kabel (gambar bawah). 

 

 

Dari segi rekabentuk kabin, EPB memungkinkan ruang yang lebih luas untuk peralatan lain kerana perekabentuk kenderaan tidak perlu lagi menyediakan ruang untuk brek parkir tangan. Ruang itu boleh digunakan untuk tempat letak cawan (cupholder) atau benda-benda lain.

Ia juga memudahkan pemandu kerana mereka sudah boleh terus memandu selepas gear D dipilih. Komputer akan melepaskan EPB sebaik sahaja pendikit ditekan.

Untuk pemandu-pemandu "agresif", ketiadaan brek parkir tangan adalah satu kerugian kerana mereka tidak boleh lagi melakukan "handbrake U-turn" dengan jayanya. 

Mungkin kerana itu penulis tidak suka EPB.