Apa ada dengan platform MQB? Diguna lebih 32 juta kenderaan Kump. Volkswagen!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Volkswagen Group MQB
Volkswagen Group MQB
Kerap disebut bersama model keluaran Volkswagen ialah platform MQB. Kumpulan Volkswagen sangat berbangga dengan MQB dan masakan tidak, pelbagai model dan jenama menggunakannya sehingga lebih 32 juta unit kenderaan!

Untuk Volkswagen sahaja lebih 20 juta kenderaan dihasilkan menggunakan MQB dari sekecil Polo hingga sebesar SUV Atlas di Amerika Syarikat dan Teramont di China.

MQB kedengaran catchy dan baharu dan ia telah digunakan sejak tahun 2012 lagi. 

VW Golf generasi ketujuh, Audi A3 generasi ketiga

 

Volkswagen Golf VII

 

Golf generasi ketujuh adalah model pertama keluaran Volkswagen yang menggunakan platform MQB dan dikeluarkan di kilang Wolfsburg pada Oktober 2012. 

Bagi jenama di bawah Kumpulan Volkswagen, MQB digunakan buat kali pertama melalui Audi A3 generasi ketiga yang dilancarkan di pasaran beberapa bulan sebelum Golf.

Proses pengeluaran standard, skala ekonomi

MQB adalah singkatan kepada Modularer Querbaukasten dalam bahasa Jerman atau bermaksud Modular Transverse Matrix/Toolkit di dalam bahasa Inggeris.

Satu faedah utama MQB ialah ianya membolehkan penstandardan proses pengeluaran di dalam kesemua aspek dan menghasilkan lebih fleksibiliti selain mengurangkan kos pembangunan.

 

Volkswagen Group MQB

 

Satu lagi manfaat ialah skala ekonomi hasil perkongsian komponen dan dalam jumlah besar. Perkataan besar mungkin tidak tepat, lebih sesuai jika mega digunakan.

Ianya juga membolehkan VW untuk memperkenalkan teknologi yang inovatif di dalam segmen massa.

Ciri canggih seperti sistem bantuan pemanduan boleh ditawarkan di dalam semua kelas kenderaan dan dapat dinikmati oleh pelbagai kategori pelanggan.

Sama tetapi tidak serupa

Seperti yang dikatakan, manfaat MQB bukan sahaja untuk Volkswagen tetapi keseluruhan Kumpulan Volkswagen.

Namun tidak bermakna semua model dan jenama serupa. Satu ciri MQB ialah fleksibiliti atau keanjalannya yang tinggi.

Ciri seperti jarak dan trek roda, saiz roda, kerusi atau posisi stereng boleh disesuaikan dengan bebas bergantung kepada letakan dan kelas kenderaan bagi memenuhi keperluan dan citarasa pasaran dan pelanggan.

 

Volkswagen Group MQB

 

Sejumlah komponen badan kereta diperbuat daripada besi dan kepingan kekuatan tinggi dan ultra kekuatan tinggi dan dalam pelbagai saiz ketebalan.

Faktor itu juga menyumbang kepada berat lebih rendah pada model baharu MQB atau secara purata sekitar 50 peratus berbanding model sebelumnya.

Sebagai contoh, hampir 100 kilogram berat berjaya dikurangkan pada Golf generasi ketujuh (bergantung kepada spesifikasi).

Enjin baharu dengan posisi pemasangan standard

Platform MQB bukan berkenaan badan dan panel kenderaan sahaja. Posisi pemasangan enjin juga distandardkan.

Enjin dipasang condong ke belakang mengikut posisi 12 darjah dengan sisi kemasukan (intake) di depan dan bahagian ekzos di belakang.

Disebabkan itu, para jurutera pembangunan memusingkan kepada silinder enjin TSI sebanyak 180 darjah berbanding enjin EA 111 sebelumnya.

Enjin TSI dari siri EA 211 turut sama diperkenalkan bersama-sama MQB.

Petrol, diesel, gas dan elektrik

 

Volkswagen e-Golf
Volkswagen e-Golf

 

Dari awal lagi platform MQB dibangunkan supaya boleh menerima pelbagai jenis enjin dan kalis masa depan.

Enjin petrol (TSI), diesel (TDI) dan gas asli (CNG) telah diambil kira dan dirancang dari peringkat konsep reka bentuk termasuk hibrid sederhana dan hibrid plug-in.

Satu yang menarik, model e-Golf dari 2013 hingga 2020 menggunakan nadi elektrik sepenuhnya.

 

Volkswagen e-Golf

 

Petrol dan diesel, kotak gear sama

Enjin petrol dan diesel baharu (EA 288) menggunakan cagak yang standard untuk transmisi. Ciri tersebut membolehkan kedua-dua enjin menggunakan kotak gear dan aci pacu sama pada gandar depan.

Hasilnya, hampir separuh jumlah varian enjin dan kotak gear dikurangkan.

Selain itu, jumlah versi yang berbeza untuk unit pemanas dan penyaman udara yang merupakan komponen besar di bahagian depan kereta dikurangkan dari 102 kepada 28 sahaja.

Pengeluaran yang cekap

 

VW Golf GTI

 

Volkswagen dan jenama di bawah Kumpulan Volkswagen berupaya untuk membangunkan model dan varian baharu dengan pantas hasil keanjalan MQB.

Dengan usia yang panjang, MQB tidak statik dan sentiasa diperkemaskan. Ianya dibahagikan kepada beberapa model dan tahap evolusi dengan yang terbaru boleh dilihat pada Golf di pasaran sekarang.

Kesemua kenderaan yang diasaskan dari MQB boleh distandardkan dan dikeluarkan dengan cekap di pelbagai kilang pengeluaran di dalam rangkaian global.

Ketika pengeluaran Golf baharu di kilang Wolfsburg dimulakan pada tahun 2019, sekitar 80 peratus pemasangan sedia ada di bahagian badan (body shop) dapat digunakan.

Selain itu, MQB juga membolehkan pemasangan kenderaan yang berbeza jarak dan trek roda atau jenama dan model berbeza dibuat di barisan pemasangan (production line) yang sama.

Satu fakta yang perlu diketahui, Golf GTI pasaran tempatan di pasang di Pekan, Pahang dan merupakan lokasi ketiga di dunia selepas Jerman dan China!

MQB, MEB, SSP

 

Volkswagen ID. Buzz

 

Berdasarkan pengalaman dengan MQB, Volkswagen membangunkan sebuah lagi platform iaitu modular electric drive matrix (MEB) untuk model elektrik ID.

MEB jug merangkumi pelbagai model untuk pasaran global dari segmen kereta bandar sehingga sebesar van ID. Buzz.

Tidak terhenti setakat itu, MEB dijadikan asas untuk sebuah lagi platform iaitu Scalable Systems Platform (SSP) bagi kenderaan elektrik dan menariknya turut terdiri daripada model sporti dan mewah.

Ianya bakal menggunakan elektronik dan perisian canggih dan Volkswagen merancang untuk memperkenalkan model SSP pertama pada tahun 2026.

Perancangan dan penggunaan MQB sememangnya hebat dengan Kumpulan Volkswagen telah menunjukkan bagaimana skala ekonomi dan penstandardan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Volkswagen models

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Volkswagen Nivus 2021 merupakan model crossover terbaharu yang dibangunkan di Brazil untuk pasaran…