Terdapat beberapa negara di benua Amerika Utara dan Eropah telah mengharamkan pesawat Rusia daripada melalui ruang udara mereka.
Salah satu daripada pesawat milik Rusia, iaitu Antonov An-124 'Ruslan' dilapor telah tersadai di lapangan terbang Toronto, Kanada selama hampir 400 hari sejak kali terakhir ia mendarat.
Difahamkan, pesawat kargo terbesar di dunia itu mendarat di Kanada dengan membawa muatan kit ujian COVID-19 dari China pada 27 Februari 2022.
Namun, disebabkan tindakan kerajaan Kanada menutup ruang udara mereka pada hari yang sama, pesawat kargo Volga-Dnepr itu tidak dapat keluar dari negara itu, dan terpaksa diparkir di kawasan meletak pesawat jangka panjang di seksyen utara Toronto Pearson Airport.
Menurut laporan BlogTO, caj parkir yang dikenakan di lapangan terbang tersebut adalah sekitar C$1,065.60.
Setelah hampir 400 hari tersadai, jumlah kos parkir dikatakan mencecah C$426,000 (RM1,388,268)!
Kementerian Pengangkutan Kanada menyebut mereka tidak bertindak merampas pesawat kargo yang masih lagi dimiliki oleh syarikat Volga-Dnepr Airlines itu, bermakna syarikat tersebut perlu membayar yuran parkir yang sangat mahal apabila mereka dibenarkan untuk membawa pulang pesawat tersebut.
Disebabkan saiznya yang besar, kebanyakan pemandu di sekitar Greater Toronto Area boleh melihatnya dari lebuh raya Ontario Highway 427.