Antonio Filosa Dilantik Sebagai CEO Baharu Stellantis

oleh Qalif Latif|
Stellantis N.V. telah mengumumkan pelantikan rasmi Antonio Filosa sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat itu, menggantikan tampuk kepimpinan korporat mulai 23 Jun 2025. Beliau merupakan veteran syarikat selama 25 tahun dan kini memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) untuk rantau Amerika serta Ketua Pegawai Kualiti.

Pemilihan ini dibuat selepas proses pencarian dalaman dan luaran yang menyeluruh, dikendalikan oleh Jawatankuasa Khas yang diketuai oleh Pengerusi Eksekutif Stellantis, John Elkann. Bagi memastikan peralihan yang lancar dan efektif, Lembaga Pengarah telah memberikan kuasa CEO kepada Filosa lebih awal sebelum pelantikan rasmi beliau sebagai pengarah eksekutif dalam mesyuarat agung luar biasa pemegang saham yang akan diumumkan tidak lama lagi.

Antonio Filosa bukan asing dalam dunia automotif mahupun dalam organisasi Stellantis. Sepanjang lebih dua dekad kariernya, beliau telah memainkan peranan utama dalam pembangunan jenama-jenama utama seperti FIAT, Peugeot, Citroën, Ram dan Jeep®, khususnya di Amerika Selatan dan kini Amerika Utara.

Antara pencapaian penting beliau termasuk kejayaan pelancaran kilang Pernambuco, Brazil yang menjadi hab automotif utama rantau itu. Beliau turut membawa jenama Jeep® berkembang ke pasaran Eropah menerusi model popular seperti Jeep Avenger yang kini antara produk terlaris syarikat di rantau tersebut.

Dilantik sebagai COO untuk seluruh rantau Amerika pada Disember 2024, Filosa telah melaksanakan beberapa langkah pembaharuan strategik di AS termasuk mengurangkan lebihan inventori di peringkat pengedar, menyusun semula barisan kepimpinan, memperkenalkan trenkuasa baharu serta memperkukuh hubungan dengan pengedar, kesatuan sekerja dan pembekal.

Menurut John Elkann, pelantikan ini mencerminkan keyakinan penuh pihak Lembaga terhadap kredibiliti dan visi Filosa.

"Antonio memahami syarikat ini luar dan dalam. Beliau melihat tenaga kerja kita sebagai kekuatan utama dan menunjukkan kepimpinan yang kukuh di tengah cabaran industri masa kini. Saya yakin beliau akan membawa Stellantis ke fasa pembangunan yang lebih cemerlang," kata Elkann dalam kenyataan rasmi.

Naib Pengerusi Stellantis, Robert Peugeot pula menyifatkan pengalaman luas dan prestasi cemerlang Filosa dalam pelbagai peranan menjadikannya calon paling semula jadi untuk memimpin syarikat.

Pelantikan ini turut mendapat sokongan dari CEO Bpifrance, Nicolas Dufourcq yang melihat kepimpinan baharu ini sebagai permulaan bab penting untuk Stellantis dalam menghadapi era transformasi industri automotif global.

Bagi Filosa sendiri, pelantikan ini adalah satu penghormatan besar.

"Saya amat bersyukur atas kepercayaan yang diberikan. Semangat dan dedikasi warga Stellantis sentiasa menjadi inspirasi saya. Dengan kekuatan jenama-jenama ikonik yang kita miliki dan sejarah lebih 100 tahun inovasi, saya yakin kita akan terus menyediakan produk dan perkhidmatan yang digemari pelanggan," kata beliau.

Antonio Filosa memulakan kerjayanya dalam Fiat Group pada 1999, dan telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Ketua Operasi FCA di Amerika Latin dan CEO jenama Jeep®. Beliau memiliki ijazah sarjana kejuruteraan dari Politecnico di Milano dan MBA eksekutif dari Fundação Dom Cabral. Ketika ini, beliau menetap di Michigan, Amerika Syarikat.

Berita Berkenaan

Berita Global
Perubahan itu dijangka berlaku di bawah kepimpinan baharu Antonio Filosa, menggantikan Carlos…
Berita Domestik
Perkara ini disahkan oleh Isaac Yeo, Pengarah Urusan Stellantis ASEAN, dalam satu temubual bersama…
Berita Global
Menurut laporan Reuters yang memetik sumber dalaman, keputusan ini dibuat berikutan kos pembangunan…