Anthony Loke - Tiada tarikh pasti Aerotrain KLIA kembali beroperasi perkhidmatan

oleh Penyumbang Rencana|
Proses penyelesaian projek Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) masih di peringkat ujian pelbagai peringkat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata kontraktor terbabit sedang melaksanakan ujian dinamik dan beberapa ujian lain.

"Sekarang (kontraktor) masih menjalankan ujian dinamik tapi lepas itu ada ujian sistem sepenuhnya dan persepaduan sistem sebelum boleh diserahkan kepada pihak berkuasa untuk buat ujian terakhir.

"Walaupun sebelum ini mereka memberi gambaran ia boleh siap pada 31 Januari, tetapi setakat ini mereka belum berikan tarikh yang tetap atau tarikh tertentu untuk Aerotrain (beroperasi)," katanya pada sidang media pada Rabu.

Aerotrain, sistem transit automatik yang beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), menjadi tulang belakang pengangkutan dalaman lapangan terbang sejak mula beroperasi pada 1998.

Namun dengan usia perkhidmatan melebihi dua dekad, sistem itu semakin kerap mengalami gangguan teknikal.

Tahun lalu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan langkah menggantikan sistem Aerotrain lama dengan sistem baharu.

Projek ini membabitkan perbelanjaan besar dan memerlukan masa untuk memastikan semua fasa ujian dijalankan dengan teliti.

Penggantian Aerotrain ini dijangka meningkatkan pengalaman penumpang di KLIA, mengurangkan risiko gangguan operasi, dan menyokong pertumbuhan trafik penumpang udara yang dijangka meningkat dalam beberapa tahun akan datang.

 

Bernama

Berita Berkenaan

Informasi
"Kami sedang memantau kemajuannya dan mahu mereka menyiapkan projek ini. Sasaran kami adalah…
Informasi
  "Susulan keputusan menggantung operasi tren tersebut sehingga tempoh yang akan dimaklumkan…
Berita Domestik
  "Langkah mitigasi ini diambil sementara projek menaik taraf sistem siap dan membeli set…