" ... seperti yang dinyatakan, kontraktor yang dilantik (SRS Konsortium) sebenarnya ada perjanjian dengan pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini dengan model pembangunan berlainan.
"Sekarang ini, kita, kerajaan Persekutuan ambil alih, jadi kita mempunyai tatacara, prosedur dan ia telah mendapat kelulusan prinsip daripada Jemaah Menteri, tetapi dari segi kos terperinci dan kos pembinaan, ia perlu dirundingkan semula dengan pihak kontraktor," katanya kepada pemberita pada Isnin.
Loke berkata rundingan dengan pihak kontraktor mengambil masa beberapa bulan kerana pihaknya perlu melihat banyak perkara secara terperinci dan berharap semua proses itu dapat dilaksanakan tahun ini termasuk memuktamadkan kelulusan dari segi perjanjian dengan kontraktor.
Beliau berkata seterusnya ia perlu mendapat kelulusan akhir MOF sebelum projek itu dianugerahkan kepada pihak kontraktor.
Loke juga menjangkakan projek pembinaan LRT Laluan Mutiara itu dapat dimulakan pada awal tahun depan dengan majlis pecah tanah apabila segala proses dimuktamadkan.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan fasa pertama pembinaan LRT Laluan Mutiara itu akan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Komtar manakala fasa kedua pula melibatkan laluan menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai.
"Sebelum ini, ia satu laluan terus atau jajaran tegak dari LTAPP ke Komtar, tetapi sekarang ia kena pergi ke Penang Sentral seperti yang diarahkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) maka reka bentuk itu perlu diubah suai dan ada perubahan dari segi kos serta skop," katanya.
Mac lepas, kerajaan Persekutuan secara rasmi mengambil alih projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang daripada kerajaan negeri dan keputusan itu dicapai susulan keputusan Jemaah Menteri yang meluluskan cadangan pembangunan projek berkenaan.
Kerajaan memutuskan melantik MRT Corp iaitu syarikat 100 peratus milik Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) sebagai pemaju dan pemilik aset dengan pelaksanaan projek dibuat secara tender terbuka.