"Tambang bas itu bukan di bawah kita, kita tidak ada kawalan. Tambang bas itu sudah tidak lagi regulated. Ia antara (perbincangan dan persetujuan daripada) pihak ibu bapa (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) dengan pengusaha," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai isu kenaikan tambang bas sekolah yang dijangka meningkat antara RM5 hingga RM10 selepas sidang media Pengumuman Perubahan Jadual Waktu KTM Komuter Laluan Pelabuhan Klang-KL Sentral-Pelabuhan Klang pada Jumaat.
Sebelum ini, media melaporkan bahawa Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) telah menggesa Kementerian Pengangkutan untuk campur tangan bagi mengelakkan kenaikan tambang bas sekolah yang dijadualkan bermula Februari ini.
Pada Rabu lepas, Presiden Gabungan Persatuan Pengusaha Bas Sekolah Malaysia (GPBSM) Mohd Rofik Mohd Yusof memaklumkan pengusaha bas telah menyuarakan hasrat untuk menaikkan tambang berkenaan, namun keputusan akhir akan dibuat berdasarkan persetujuan antara mereka dan pihak ibu bapa.