Anthony Loke - MOT, KKR bangunkan sistem atasi kemalangan kenderaan muatan berat

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang dalam proses akhir membangunkan sistem ‘High Speed Weigh-In-Motion’ (HS-WiM) bagi mengatasi nahas jalan raya berpunca daripada kenderaan lebih muatan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemasangan sistem itu kelak khususnya di kawasan ‘hot spot’ kenderaan lebih muatan dan ‘black spot' kemalangan maut bertujuan memastikan penguatkuasaan yang lebih bersepadu dan moden.
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 01
MG5 MREC Banner Campaign October 2024 - 02

"Kita tahu di Lebuhraya Karak ini memang berlaku banyak kemalangan dan untuk kenderaan perdagangan berat operasi bersepadu telah dilaksanakan secara berterusan. Kita akan sentiasa membuat pemantauan dan operasi penguatkuasaan untuk mengurangkan kemalangan.

"Satu daripada isu yang sentiasa berlaku ialah lori muatan logistik yang berlebihan dan ini akan sentiasa dipantau oleh pihak kementerian,” katanya menjawab celahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi MOT pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Young Syefura ingin tahu peranan yang boleh dilakukan oleh kementerian untuk mengurangkan kekerapan berlakunya kemalangan di Lebuhraya Karak hingga menyebabkan kehilangan nyawa.

Anthony Loke berkata, sebagai usaha jangka panjang untuk mengurangkan beban trafik di jalan raya, MOT akan menggalakkan penggunaan rel untuk mengangkut kargo khususnya dari Lembah Klang ke Pantai Timur.

"Selepas ECRL (projek Laluan Rel Pantai Timur) siap nanti, sudah tentu kita akan merangka dasar yang mengurangkan kebergantungan kepada lori kenderaan berat. Ini dapat mengurangkan penggunaan trak di atas jalan raya,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang bertanya perancangan kementerian supaya stesen keretapi dihubungkan dengan pengangkutan awam lain di kawasan luar bandar dan terdapat permintaan tinggi menaik taraf stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Anthony Loke berkata, kerja naik taraf memang diberi perhatian oleh Perbadanan Aset Keretapi (RAC).

"Memang di Lembah Klang kita sedang cuba naik taraf pengintegrasian antara stesen pengangkutan awam dan saya setuju bukan sahaja di Lembah Klang perlu tetapi seluruh negara, bandar-bandar lain seperti Alor Setar dan sebagainya memerlukan integrasi pengangkutan awam lebih efisien,” katanya.

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Menurutnya, berdasarkan siasatan, soket elektrik tidak dimasukkan sebagai sebahagian daripada…
Berita Domestik
Hasbi berkata kemalangan paling kerap berlaku dan membimbangkan adalah melibatkan pengguna…
Informasi
Antaranya, menggiatkan penguatkuasaan melibatkan peraturan had muatan kenderaan dan had laju bagi…