Anthony Loke - Kerajaan tidak teruskan projek monorel Putrajaya

oleh Penyumbang Rencana|
gambar hiasan
Kerajaan tidak bercadang untuk meneruskan projek monorel Putrajaya susulan terdapat alternatif pengangkutan awam lain di kawasan berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan, perkhidmatan bas pengantara sedia ada dari Putrajaya Sentral melibatkan lima laluan iaitu ke Presint 10, Presint 16, Presint 4, Presint 11 dan Ayer 8 juga telah ditambah baik.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

"Memang ada kajian yang pernah dibuat tetapi projek monorel Putrajaya sudah lama terbengkalai sejak sekian lama.

"Struktur yang masih ada (iaitu) satu terowong bawah tanah telah dibina pada ketika itu, tetapi ia sudah lama dan setakat ini belum ada sebarang kajian dibuat sama ada struktur tersebut masih boleh diguna pakai atau tidak," katanya pada sidang Dewan Negara pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Hisamudin Yahaya sama ada kerajaan akan menyiapkan pembinaan projek monorel Putrajaya bagi mengurangkan kesesakan jalan di kawasan berkenaan.

Dalam pada itu, Anthony Loke berkata, kerajaan sentiasa terbuka untuk meneliti sebarang kebolehlaksanaan projek-projek lain untuk menaik taraf sistem perkhidmatan pengangkutan awam di Putrajaya dan sekitarnya.

"Kita akan melihat alternatif lain untuk menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas pengantara antara stesen Putrajaya Sentral ke presint-presint yang disebutkan.

"Perkhidmatan bas telah ditambah baik dan saya harap ia memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan Putrajaya dan sekitarnya," katanya.

Sementara itu, Anthony Loke memaklumkan, bilangan penumpang dijangka terus meningkat dengan penambahan tren-tren Transit Aliran Massa (MRT) baharu yang akan beroperasi di laluan Kelana Jaya selain penyiapan penuh kerja membaikpulih struktur retak di laluan Ampang.

"Kementerian Pengangkutan melalui Prasarana akan terus menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam selain membuat pelaburan dalam infrastruktur rel dan bas mengikut keperluan demi menggalakkan peralihan ke mod pengangkutan awam yang lebih selesa, selamat dan rendah karbon.

"Selain itu, pas perjalanan tanpa had MY50 bagi perkhidmatan rel dan bas juga diteruskan sebagai usaha kerajaan menggalakkan penggunaan pengangkutan awam," ujarnya.

 

 

Astro Awani