“Pendekatan ini diambil supaya pengguna jalan raya lebih berhati-hati dan mematuhi peraturan sepanjang musim perayaan,” katanya ketika berucap pada majlis Iftar Bersama Menteri Pengangkutan di Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut beliau, Op Selamat musim perayaan tahun lalu mencatatkan penurunan jumlah kemalangan berbanding tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, katanya, semua anggota JPJ dicabar untuk terus menurunkan kadar kemalangan pada tahun ini, malah menyasarkan sifar kemalangan maut di jalan raya.
“Kita mahu mengurangkan kadar kemalangan ke tahap paling minimum, kalau boleh tiada kemalangan maut langsung sepanjang musim perayaan.
“Semua pengguna jalan raya pulang ke kampung dengan satu tujuan, iaitu bertemu keluarga dan menyambut Syawal dalam suasana gembira,” ujarnya.
Tambah beliau, tragedi kemalangan yang meragut nyawa bukan sahaja merosakkan kegembiraan Aidilfitri, malah meninggalkan kesedihan mendalam kepada keluarga mangsa.
“Bayangkan jika sebuah keluarga ditimpa tragedi kehilangan orang tersayang ketika musim perayaan, sudah tentu ia menjadi detik yang amat menyedihkan.
“Sebab itu kita (JPJ) perlu melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya bagi membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya.