"Sebagai Menteri Pengangkutan, saya mengakui sistem Kejara ini gagal sebab kita punya pendekatan salah.
"Sebab itu, saya katakan sistem ini memang perlu dirombak dan (kementerian) sedang melihat (pendekatan baharu) yang akan dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelaksanaan Penggunaan Speed Limitation Device (SLD) bagi kenderaan perdagangan di Scania (Malaysia) Sdn Bhd di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Aedy Fadly Ramli.
Sistem Kejara adalah suatu prosedur pemberian mata demerit kepada pemandu kenderaan motor yang melakukan kesalahan terjadual di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Kaedah-Kaedah di bawahnya.
Sebanyak 20 kesalahan yang dikenal pasti boleh menyebabkan kemalangan serius atau kemalangan maut dan membahayakan pengguna jalan raya yang lain dimasukkan di dalam senarai kesalahan di bawah pelaksanaan sistem mata demerit itu.