Katanya, ketika tiba di lokasi kejadian, ambulans itu sedang melalui persimpangan lampu isyarat sambil menyembunyikan hon dan siren sebelum tiba-tiba dilanggar kereta mewah jenis Audi TT FSI.
“Siasatan mendapati, pemandu kereta panik dan tidak sempat menekan brek seterusnya melanggar ambulans yang ketika itu melalui persimpangan lampu isyarat yang bertukar hijau.
“Kereta berkenaan dari arah Persiaran Perdana menuju ke Masjid Putra, manakala ambulans itu pula dari arah Presint 18 menuju ke Hospital Putrajaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, ambulans itu terbalik dan tiga mangsa termasuk dua penumpang ambulans serta seorang pesakit mengalami kecederaan.
Jelasnya, pemandu kereta dan penumpangnya pula tidak mengalami apa-apa kecederaan.
“Ketika kejadian permukaan jalan rata dan tidak licin. Kes kini masih disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Kami turut memohon rakaman televisyen litar tertutup di lokasi kejadian dan saksi kejadian juga diminta tampil untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Terdahulu, tular di laman media sosial memaparkan video kemalangan memaparkan sebuah ambulans terbalik selepas dirempuh sebuah kereta hingga mencetuskan pelbagai reaksi orang awam.