ANGGOTA TENTERA WANITA MAUT, BAYI PARAH DALAM KEMALANGAN

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG anggota tentera wanita maut manakala bayinya yang berusia setahun parah dalam kemalangan di Kilometer 209.7 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan dekat Kamunting, Taiping semalam.

Mangsa, Norfatiha Mohd Zaini, 28 tahun yang cedera parah di kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, dua lagi anak mangsa Nur Jannatul Husna Mohd Zulhakimi, enam tahun dan Muhammad Iman Rizky berusia  tiga tahun bagaimana pun tidak mengalami kecederaan.

Katanya, dalam kejadian kira-kira 10.55 malam itu, mangsa, Norfatiha Mohd Zaini, 28 tahun yang berkhidmat dalam Kor Perkhidmatan Diraja dalam perjalanan dari Sungai Petani menghala ke Ipoh menaiki kereta bersama tiga anaknya.
“Tiba di tempat kejadian, kereta jenis Proton Saga dipandu mangsa dipercayai terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan.

"Kejadian itu mengakibatkan mangsa cedera di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala bayi perempuannya Nur Jannatul Sumayyah berusia satu tahun pula cedera parah,” katanya 

Beliau berkata, ahli keluarga mangsa telah dimaklumkan kejadian itu dan siasatan lanjut akan dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mangsa yang parah masih menerima rawatan di zon merah Hospital Taiping," katanya.