Anggota polis parah dirempuh kereta dalam kejadian langgar lari

oleh Hamimah Hamid|
SEORANG anggota polis cedera parah dirempuh sebuah kereta dalam kejadian langgar lari di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor, malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pegawai rendah polis berusia 34 tahun itu yang sedang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah bermotosikal mengalami patah tulang rusuk dan tulang bahu.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang lagi anggota polis telah menghampiri sebuah kereta yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan tersebut.

 

"Dalam kejadian pukul 7.30 malam itu kedua-dua anggota terbabit menghampiri sebuah kereta jenis Proton Iriz berwarna biru yang dikesan berada dalam keadaan mencurigakan.

 

"Pemandu kereta kemudian telah bertindak mengundurkan kereta yang dipandunya dan melanggar motosikal mangsa hingga menyebabkannya terjatuh," katanya.

 

Menurut Yusri, setelah melanggar mangsa, suspek menggerakkan kereta ke hadapan dan mengundur sekali lagi hingga melanggar mangsa buat kali kedua.

 

Katanya, suspek kemudian memecut kereta meninggalkan tempat kejadian dan menghala ke arah Tanah Hitam.

 

"Pihak polis sedang giat mengesan pemandu kereta Proton Iriz terbabit dan kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan," katanya.

 

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Asisten Superintendan Norazlina Rais Ahmad di talian talian 013-6282176 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.