Menurut Google, kini terdapat lebih 250 juta kenderaan di seluruh dunia yang serasi dengan Android Auto, menjadikan platform itu antara sistem sambungan telefon pintar paling popular dalam industri automotif.

Antara perubahan utama ialah penggunaan rekaan Material 3 Expressive yang diinspirasikan daripada antaramuka Android moden pada telefon pintar.
Android Auto kini hadir dengan sokongan widget yang boleh diubah suai mengikut citarasa pengguna. Ia termasuk paparan cuaca, gambar peribadi, kontak kegemaran, jam bersaiz besar serta pintasan untuk fungsi tertentu seperti pembuka pintu garaj pintar.
Selain itu, Google Maps kini dipaparkan secara edge-to-edge pada skrin infotainmen bagi memberikan pengalaman navigasi yang lebih kemas dan imersif.
Google turut menjelaskan sistem baharu ini direka untuk menyesuaikan diri dengan pelbagai bentuk skrin kenderaan termasuk paparan bulat seperti model MINI serta skrin ultra lebar moden.
YouTube Kini Disokong Dalam Android Auto
Satu lagi ciri menarik ialah sokongan video resolusi tinggi YouTube yang bakal diperkenalkan pada Android Auto bermula hujung tahun ini.

Fungsi tersebut akan tersedia untuk beberapa jenama termasuk BMW, Ford, Genesis, Hyundai, Kia, Mercedes-Benz, Renault, Skoda dan Volvo.
Ciri ini sesuai digunakan ketika kereta sedang dicas atau sewaktu pengguna menunggu di dalam kenderaan yang diparkir.
Menariknya, apabila gear dimasukkan untuk mula bergerak, paparan video akan dimatikan secara automatik demi keselamatan. Namun audio masih akan diteruskan, membolehkan pengguna terus mendengar podcast atau kandungan video.
Dolby Atmos Dan Penambahbaikan Audio
Android Auto juga kini menyokong teknologi audio Dolby Atmos untuk aplikasi dan kenderaan tertentu.
Dalam masa sama, aplikasi seperti Spotify dan YouTube Music turut menerima kemaskini antaramuka baharu yang dikatakan lebih mudah digunakan ketika memandu.

Gemini Jadi Pembantu AI Dalam Kereta
Google turut membawa integrasi AI Gemini ke Android Auto serta sistem Google built-in.
Untuk kenderaan yang menggunakan Google built-in, pengguna boleh bertanya pelbagai perkara berkaitan kenderaan mereka secara terus kepada Gemini.
Contohnya termasuk pertanyaan mengenai lampu amaran pada papan pemuka atau sama ada televisyen yang ingin dibeli boleh dimuatkan ke dalam ruang but belakang.
Selain itu, Google Maps pada beberapa model Google built-in kini menyokong live lane guidance yang lebih tepat menggunakan kamera hadapan kenderaan.
Sistem itu mampu mengenal pasti lorong semasa kenderaan dan memberikan panduan pertukaran lorong atau susur keluar secara masa nyata.
Sumber: CarScoops.com