Pihak Mellors Elliot Motorsport (MEM) baru-baru ini telah pun mengemaskini laman sesawang rasmi mereka berkenaan harga jualan untuk sebuah kereta asas, kit-kit yang diperlukan serta kos-kos tambahan untuk mengoperasikan sebuah jentera rali sebenar.
Berdasarkan semakan, anda kini boleh mendapat sebuah Proton Iriz R5 pada harga asas sekitar £140,000 atau RM775 ribu mengikut kadar pertukaran matawang semasa.
Di dalam pakej asas ini, anda akan mendapat kelengkapan seperti berikut:
- Enjin 4B11 Turbo 1,600 cc
- Rangka badan dengan spesifikasi R5
- Transmisi Xtrac sekuential lima nisbah kelajuan
- Suspensi Reiger
- ECU Cosworth
- Brek Brembo 4 piston
- Tempat duduk Perlumbaan FIA, harnesses 6 poin HANS, kotak pedal Fly by Wire
- Set rim Speedline R5
Selain daripada itu, barangan opsyen yang ditawarkan oleh pihak MEM juga cukup panjang, di mana dengan harga tambahan £45,000 anda boleh mendapatkan barangan seperti:
- paparan Co-Driver Cosworth
- Perlindungan terhadap propshaft, differential, ekzos
- kit brek cakera belakang 355 mm
- pad brek Winmax
- kit sampel bahan api FIA
- tayar Michelin
- jaring helmet
- kit tayar simpanan
- Intercom Digital Stilo
- dan macam-macam lagi!
Selain daripada itu, bagi mereka yang mahu menyesuaikan Iriz R5 mereka, terdapat juga kit Gravel dan kit Tarmac, masing-masing dijual pada harga bermula dari £19,900 (RM110,263) sehingga £23,500 (RM130,210).
Tidak cukup dengan itu, brosur terbaharu daripada MEM ini turut menyertakan kos penyelenggaraan yang perlu dihadapi berdasarkan jarak perbatuan yang ditempuh setiap kali selepas perlumbaan.
Seperti contoh, untuk setiap 2,000 km jarak perbatuan, enjin perlu dirombak rawat semula dengan jumlah kos sekitar £8,000 (RM44 ribu), tidak termasuk dengan proses penggantian komponen pakai lusuh lain seperti turbo, palam pencucuh, alternator serta komponen transmisi.