Kinto Vintage Club yang dikendalikan oleh Toyota kini menawarkan beberapa pilihan kereta-kereta klasik Toyota untuk disewa.
Setakat ini, hanya empat buah model sahaja yang ditawarkan, iaitu Toyota Corolla Levin TE27, Toyota Soarer Z10, Toyota Supra Turbo A70 atau Toyota Celica Liftback.
Lebih menarik, ada di antara kereta-kereta yang ditawarkan ini sudah pun dilengkapi dengan barangan aftermarket yang popular, seperti RS Watanabe, Hayashi Streets dan juga Nardi.
Kadar sewaan kereta klasik ini bermula dari ¥30,000 (RM966.24) untuk tempoh lapan jam untuk model TE27, Celica dan Soarer, manakala kadar sewaan untuk Toyota Supra A70 lebih murah ¥5,000 berbanding tiga model yang disebutkan tadi.
Kinto juga dengan baik hatinya turut mencadangkan beberapa laluan dengan pemandangan yang menarik untuk dinikmati oleh para pengguna perkhidmatan ini.
Menurut laporan Japanese Nostalgic Car, keempat-empat kereta ini akan berada di Toyota City, Wilayah Aichi sehingga 31 Oktober ini sebelum dipindahkan ke GR Garage di Mitaka, Tokyo.
Sumber: Japanese Nostalgic Car, Kinto Vintage Club