Anak Pahang buka stesen minyak PETRONAS konsep kontena guna duit simpanan!

oleh Mohamad Hanif|
Berkat disiplin yang tinggi serta usaha menyimpan duit semenjak dari bangku sekolah, Imran Ariff Mohamed @ Razlan, 34 akhirnya mampu berbangga mendirikan sebuah stesen minyak berkonsep unik nun jauh di utara Malaysia.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Keputusan tersebut dibuat kira-kira lima tahun lalu apabila Imran tertarik dengan sebuah iklan di laman sesawang PETRONAS, lantas mengubah arah tuju daripada jurutera elektronik komputer kepada bidang peruncitan petroleum pada awal 2019.

Stesen minyak PETRONAS Jejawi yang berdiri megah merupakan stesen minyak ketiga di dalam negara menggunakan konsep kontena.

Anak muda kelahiran Jerantut, Pahang itu turut menceritakan detik kesukaran yang dihadapinya, namun berazam menjadikan peristiwa tersebut sebagai titik permulaan.

Ini kerana sebahagian daripada duit modal yang disimpannya merupakan duit pampasan yang diterima setelah terlibat dalam kemalangan pada usia 13 tahun.

 


Semenjak itu, beliau berazam menyimpan dan turut membuat pelaburan berisiko rendah menerusi Amanah Saham Bumiputera (ASB).

“Pada usia muda, ketika belajar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) saya disiplinkan diri agar tidak mengguna duit simpanan ASB dan hanya melihat rakan-rakan lain memiliki telefon pintar mewah kerana menunggu peluang membuat pelaburan yang menguntungkan yang dapat menjamin masa depan saya dan keluarga,” katanya kepada Bernama.

Beliau hanya mengeluarkan duit simpanan sebagai modal permulaan sebanyak RM250,000 pada 2019 apabila menerima tawaran menjadi wakil niaga Petronas.

Usaha Imran Ariff pada mulanya ditolak kerana dianggap terlalu muda, kurang berpengalaman serta latar belakang kerjaya yang tidak sesuai.

 


"Usaha saya tidak terhenti setakat itu apabila permohonan kali kedua diterima dan saya berjaya meyakinkan pihak PETRONAS dengan membentangkan sebuah kertas kerja 'Bagaimana Seorang Jurutera Boleh Menguruskan Stesen Minyak dan Menaikkan 'Sales''," jelas beliau.

Apa yang pasti, kaedah pengurusan stesen minyak banyak diaplikasikan daripada kaedah kejuruteraan yang dipelajari sewaktu di universiti.

Tidak dinafikan, wabak COVID-19 yang melanda serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan turut memberikan kesan kepada perniagaan dan operasi stesen minyak beliau.

"Saya guna media sosial bagi menarik minat orang ramai datang ke stesen minyak untuk mendapat barangan seperti cenderahati Petronas di Kedai Mesra dan bukan hanya sekadar mengisi minyak sahaja.

"Alhamdulillah beberapa produk seperti t-shirt Petronas habis dijual dalam masa yang singkat," katanya kepada Bernama.
 


Ketika ditanya kenapa beliau memilih Petronas, anak muda itu menjawab dengan penuh semangat bahawa ianya merupakan lambang negara yang paling dekat dengan dirinya.

"Petronas bagi saya bukan hanya sekadar entiti pernigaan tetapi ianya melambangkan negara Malaysia," katanya.

Beliau  tidak pernah menyesal meninggalkan kerjaya makan gaji kerana percaya bahawa usaha dengan berasaskan kesabaran pasti ada kejayaan.

"Ramai orang muda hari ini cepat mengalah apabila berdepan ujian gentir namun bagi saya perlu ada kesabaran untuk maju dalam perniagaan selain modal dan perancangan kewangan yang mantap," katanya.

Beliau terharu apabila stesen minyak berkonsepkan kontena yang ketiga seumpamanya ini menjadi tumpuan orang ramai yang teruja dengan seni bina dan konsep hijau stesen tersebut.

"Ada yang datang bukan hanya untuk mengisi minyak tetapi mahu berswafoto di hadapan stesen minyak saya. Untuk perancangan masa hadapan, saya bercadang menghiasi dinding stesen ini dengan lukisan mural bermotifkan negeri Perlis," katanya.

Diolah dari laporan Bernama