Anak Alex Yoong tidak gentar hadapi cabaran Vios Challenge

oleh Mohamad Hanif|
Biarpun mempunyai pengalaman luas berlumba go-kart dan jentera Formula, Alister Yoong mengakui beliau berdepan dengan cabaran yang sangat getir minggu ini bersaing dalam Pusingan Pertama Musim Kelima siri perlumbaan Vios Challenge di Litar Antarabangsa Sepang.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01

Walaupun beliau merupakan muka baharu dalam siri perlumbaan tersebut, Alister terpaksa bersaing di dalam kategori Super Sporting yang membariskan pelumba-pelumba elit dan profesional berdasarkan pengalaman dan lesen perlumbaan beliau.

“Pelumba-pelumba yang bersaing di dalam kategori Super Sporting antara yang terbaik di Malaysia, umpamanya Hayden Haikal yang juga pelumba muda yang begitu berpotensi, Mitchell Cheah seorang pelumba siri antarabangsa WTCR dan Tengku Djan yang mempunyai lebih 30 tahun pengalaman berlumba dan juga juara tiga kali kategori Super Sporting. Kesemua pelumba-pelumba begitu hebat dan saya akan cuba sebaik mungkin untuk mengatasi mereka di dalam litar,” kata Alister yang mewakili pasukan Axle Motorsports.

“Saya akan berusaha sebaik mungkin. Sebagai seorang pelumba sudah pasti saya meletakkan sasaran untuk memenangi perlumbaan pertama saya. Saya amat bertuah mendapat khidmat nasihat pasukan, jurutera perlumbaan dan rakan pasukan yang banyak membantu saya membuat persiapan.”
 

Alex


Alister turut tidak gentar berdepan dengan sebarang tekanan walaupun sering dikaitkan sebagai anak kepada bekas pelumba Formula 1 Alex Yoong.

“Sedikit sebanyak memang ada tekanan tetapi terletak pada diri saya bagaimana untuk menanganinya dan tidak membiarkan keadaan ini mempengaruhi prestasi saya. Saya datang untuk berlumba dan saya tahu tugas yang perlu saya lakukan.”

Malah kata Alister, hubungannya dengan bapanya Alex di litar perlumbaan bukanlah seperti bapa dan anak tetapi pada tahap professional.

“Di litar, kami bukan keluarga, malah kami juga bukan kawan. Hubungan kami profesional, dia sebagai pengurus pasukan dan saya sebagai pelumba. Saya ada tanggungjawab yang perlu dilaksanakan dan begitu juga beliau.”