"Isu besar yang dihadapi segmen EV adalah kos insurans tinggi dan pilihan terhad. Satu lagi isu penting, walaupun kontroversi dan sensitif ialah harga bahan api," katanya menurut laporan dari Berita Harian.
Mengulas lanjut, AmInvestment Bank berkata, bagi membolehkan EV lebih berdaya saing dari segi ekonomi dengan kenderaan ICE adalah harga bahan api perlu tinggi.
"Rakyat Malaysia kini menikmati petrol murah hanya pada AS$0.44 (RM2.05) seliter, iaitu yang ke-9 termurah di dunia.
"Beban kos bahan api tahunan untuk pemandu kereta di Malaysia berdasarkan peratusan kuasa beli setara (PPP) adalah antara terendah di dunia iaitu hanya 1.7 peratus berbanding paras purata global 8.4 peratus.
"Kesimpulannya, kos ekonomi semasa tidak cukup menarik untuk pengguna Malaysia beralih kepada EV," katanya.
AmInvestment Bank berpendapat, harga petrol mesti meningkat sebanyak 125 peratus kepada RM4.80 seliter untuk rakyat Malaysia menerima EV dengan sepenuh hati.
Pada harga itu, katanya, beban bahan api tahunan ialah 4.0 peratus daripada PPP, yang hubungan kuat dengan negara yang mempunyai kadar penembusan EV yang tinggi.
"Malaysia harus mempertimbangkan untuk menerima pakai dasar seperti China yang menjadi pengguna EV berskala besar paling berjaya.
"Dasar China memberi tumpuan pertama kepada individu berpendapatan rendah dan kemudiannya kepada golongan kaya.
"Sebagai contoh, menurut Persatuan Pengilang Automotif China (CAAM), pada 2017, China mengharamkan motosikal ICE dan mewajibkan kenderaan dua roda elektrik, menyaksikan lebih 350 juta e-skuter terjual di seluruh negara pada 2023.
"Pada masa yang sama, penggunaan bas awam diesel telah ditamatkan secara berperingkat dan digantikan dengan versi elektrik. Kini 80 peratus bas awam telah menggunakan bekalan elektrik di seluruh negara," katanya.
Bank pelaburan itu menjelaskan, hasil daripada dasar China itu, rata-rata pengguna telah mengenali EV dan kelebihannya adalah kualiti udara telah bertambah baik dengan ketara dan bandar menjadi lebih senyap. Oleh itu, mereka selesa dan tidak bimbang untuk membeli EV," katanya.
AmInvestment Bank berkata, apabila kerajaan China memberikan insentif untuk EV swasta pada 2021, pengguna dengan pantas mengambil kesempatan daripada peluang yang jarang berlaku itu.
"Menurut CAAM, jualan EV pada Mei 2024 mencapai 43.5 peratus daripada jumlah jualan kenderaan, peningkatan ketara daripada 7.0 peratus pada Januari 2021, iaitu sebelum insentif diperkenalkan.
"Dasar China jelas berkesan dan ia bukan pencapaian kecil memandangkan ia adalah pasaran kereta terbesar di dunia dan negara ketiga terbesar dari segi saiz geografi," katanya.