Menurut bayangan yang diberikan oleh CEO-nya, Laurent Rossi, kedua-dua model tersebut besar kemungkinan akan dibangun menggunakan platform daripada Lotus.
Difahamkan, SUV terbaharu daripada Alpine itu akan membuat kemunculan rasmi pada tahun 2027 dan 2028, selepas pengenalan model hot hatch R5 dan crossover GT X-over.
Laporan Autocar menyebut, platform Lotus merupakan pilihan yang sesuai untuk sebuah SUV Coupe yang dibangun diluar pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, di mana ia bakal diposisikan sebagai pesaing kepada model seperti Porsche Taycan dan Cayenne.
Baca: Lotus Eletre 2023
CEO Alpine menambah, dua model baharu itu lebih bersifat sebagai kenderaan gaya hidup.
"Untuk segmen ini, anda tidak akan menghasilkan kereta sports melainkan jika anda Ferrari," ujarnya lagi.
Meskipun begitu, model SUV coupe Alpine ini tetap akan menawarkan prestasi dan pengendalian yang menyeronokkan di dalam segmennya.
Sasaran Alpine sudah pasti pasaran Amerika Syarikat dan China, di mana kenderaan bersaiz besar mempunyai peluang yang lebih besar untuk dijual dalam amaun yang tinggi berbanding kenderaan genre hot hatch, crossover kompak dan kereta sports.
Ini bermakna, dua SUV coupe Alpine ini bakal berentap dengan model seperti Audi Q6 e-tron & Q8 e-tron, Maserati Grecale/Levante Folgore, Mercedes-AMG EQE SUV dan BMW iX.
Kerjasama antara Lotus dan Alpine bukanlah satu perkara baharu, memandangkan sebelum ini kedua-dua pihak tersebut telah bekerjasama membangunkan pengganti model A110.
Besar kemungkinan SUV baharu Alpine ini turut mengguna pakai senibina Electric Premium Architecture (EPA) yang kini menjadi asas pada model Lotus Eletre.
Sumber: Autocar