Alpine A110 R Le Mans, 100 unit terhad, hampir RM700 ribu!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Alpine A110 R Le Mans
Alpine A110 R Le Mans
Kereta sport kecil seperti Alpine A110 bukan pilihan popular untuk dikeluarkan. Pasarannya kecil namun ada pengeluar yang berani dan konsisten menawarkannya.

A110 mempunyai sejarah panjang dan boleh dirujuk sejak era 60-an lagi.

Model yang ditawarkan sekarang dikeluarkan pada 2017 dan mempunyai beberapa edisi khas seperti A110 R Fernando Alonso yang diperkenalkan pada Oktober 2022.

Walaupun menggunakan enjin 1.8 liter turbo yang sama, A110 dan A110 R berbeza dari segi kuasa, komponen dan berat.
LEXUS MREC Banner Campaign August 2024
Alpine A110 R Le Mans

 

Pada Mac lalu Alpine memperkenalkan A110 San Remo 73 sempena ulang tahun ke-50 kemenangan perlumbaan rali Sanremo.

Kini tiba giliran A110 R Le Mans yang dibuat bagi meraikan ulang tahun ke seratus perlumbaan Le Mans. Alpine bersaing di dalam perlumbaan ketahanan (endurance) sejak tahun 60-an.

Pengasas syarikat, Jean Rédélé memang gigih berlumba dan pemilihan nama Alpine sendiri diinspirasi dari kemenangan beliau pada perlumbaan Coupe de Alpes.

Kemenangan pertama di dalam Le Mans dicatatkan pada 1978 dengan jentera Renault Alpine A442B.

 

Alpine A110 R Le Mans

 

Penyertaan Alpine di dalam Le Mans diteruskan dengan kerjasama pasukan lumba Signatech juga dari Perancis di dalam kategori LMP2 sebelum berhijrah ke LMP1.

Legasi diteruskan dan Alpine akan berlumba menggunakan jentera LMDh Hypercar pada 2024. Di sebalik siri Le Mans, tidak dilupakan Alpine juga berlumba di dalam Formula 1.

Walaupun diwakili di jalan raya oleh kereta sport dua pintu saiz kecil, sejarah Alpine di dalam dunia perlumbaan bertaraf mega.

Alpine A110 R Le Mans hanya ditawarkan sebanyak 100 unit dan membawa pengaruh edisi terhad GTA Le Mans dan Alpine M63, model Alpine pertama berlumba di Le Mans.

 

Alpine A110 R Le Mans

 

Memegang nama Le Mans bermakna spesifikasi juga perlu hebat. Model ini menggunakan karbon pada bumbung, dalaman, kerusi Sabelt® Track dan rim!

Spoiler belakang juga dibuat dari karbon dengan rekaan ala kereta lumba Le Mans A480 Alpine Elf Endurance Team.

Enjin 1.8 liter turbo mungkin kecil untuk sebuah kereta sport namun berat model ini hanya 1,082 kilogram dan diterjemah pada prestasi.

Pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya perlu 3.9 saat dan kelajuan maksimum di litar mencecah 284 km/j.

 

Alpine A110 R Le Mans

 

Satu yang istimewa pada model ini ialah tolok Road & Track yang dipatenkan oleh Alpine. 

Fungsinya ialah merendah dan menambah ketegaran kereta sebanyak lima peratus untuk lebih stabil di litar.

Diganding bersama tetapan khas pada suspensi, ianya meningkatkan lagi prestasi kereta di laluan lurus Mulsanne dan selekoh kelajuan tinggi di litar Le Mans itu.

Penampilan A110 R Le Mans diserlahkan dengan jalur biru 24 Heures du Mans® dari depan hingga belakang.

 

Alpine A110 R Le Mans

 

Warna biru diulang pada rim dan cermin belakang dipasang sirip ikan yu ala kereta lumba A480 Le Mans.

Logo rasmi 24 Hours of Le Mans® ditayangkan pada spoiler depan, skirt sisi, dan penyandar kepala kerusi.

Satu lagi ciri khas ialah bentangan litar 24 Jam dipaparkan pada penghadang mata hari dan diukir dengan laser.

Plat edisi khas dengan logo rasmi 24 Hours of Le Mans® dipasang sebagai tanda keistimewaan model ini.

 

Alpine A110 R Le Mans

 

Alpine bukan setakat menawarkan kereta, pembeli akan mempunyai laluan khas kepada kemudahan Alpine Elf Endurance Team pada 2024.

Pembeli juga mempunyai peluang untuk memandu di litar menggunakan A110 R Le Mans mereka sebelum perlumbaan berlangsung.

Harga untuk sebuah unit? 140,000 euro atau bersamaan RM692,419.

Penulis: Muhammad Md Tajudin