Alpina XB7 - super SUV dengan 612 hp, 800 Nm!

oleh Mohamad Hanif|
Alpina menyerang kembali pasaran Amerika Syarikat dengan produk SUV pertama mereka, Alpina XB7 dengan spesifikasi yang mampu menandingi mana-mana kereta sports dan juga supercar.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini kerana Alpina XB7 hadir dengan nadi 4.4 liter bentangan V8 turbo berkembar yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 612 kuasa kuda dan daya kilas 800 Nm yang masuk penuh pada julat putaran enjin 2,000 - 5,000 rpm.

Dengan angka tersebut, SUV XB7 ini mampu memecut sepantas 4 saat dari 0-96 km/j, manakala pecutan suku batu pula dicatatkan dalam masa 12.6 saat sahaja dengan kelajuan tertinggi dihadkan kepada 290 km/j.

 


Difahamkan, pihak jurutera Alpina menala kembali enjin yang pernah menduduki sedan Alpina B7 ini bagi melepaskan kuasa tambahan sebanyak 12 kuasa kuda, serta memadankannya dengan sistem transmisi automatik ZF lapan nisbah kelajuan.

Talaan juga turut diberikan kepada transmisi bagi membenarkan penukaran gear dioptimasikan untuk pemanduan berprestasi dan penukaran yang lebih dinamik dalam mod Sport dan Sport+.

SUV Alpina XB7 juga dilengkapi dengan LSD dengan pembolehubah elektronik aktif pada gandar belakang yang mampu meningkatkan kadar cengkaman roda belakang terutama ketika pemanduan berprestasi tinggi, manakala sistem pacuan semua roda xDrive turut ditala semula untuk membenarkan pemanduan dinamik neutral di dalam semua kondisi.

 


Kesemua aspek ini dipadankan dengan sistem stereng roda belakang Integral Active Steering, serta sistem suspensi udara dengan tetapan khas yang membenarkan perubahan ketinggian kenderaan sehingga 40.6 mm bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih oleh pemandu.

Lebih rendah SUV, maka lebih rendah titik graviti menjadikan pengendalian yang lebih jitu.

Tidak cukup dengan itu, kadar geometri suspensi juga turut diubah dengan meningkatkan camber negatif, manakala kadar ketegaran casis dipertingkat dengan penggunaan strut jenis dome-bulkhead dan torsion, manakala sistem Active Roll Stabilization elektromekanikal pula mengurangkan kadar olengan badan.

 


Kuasa pemberhentian SUV pantas ini diserahkan kepada angkup brek Brembo empat omboh di hadapan dan angkup brek terapung di bahagian belakang dan dilayangkan dengan warna biru Alpina dengan logo putih Alpina.

Bahagian luaran SUV XB7 ini menampilkan kit badan yang agresif terdiri daripada bumper hadapan dengan bukaan kemasukan udara yang besar, bumper belakang serba baharu, sistem ekzos sport keluli kalis karat, sirip diffuser dan beberapa elemen Alpina seperti perkataan Alpina pada bumper dan rim Alpina Classic bersaiz 23 inci.

 


Di bahagian dalaman pula, Alpina XB7 membawakan kemasan eksklusif seperti kaca 'Crafted Clarity' dengan iluminasi biru pada tombol gear, butang kawalan iDrive dengan rekaan Alpina, plak produksi Alpina, plet ambang pintu beriluminasi Alpina, trim kayu Alpina Myrtle Luxury Wood serta roda stereng dengan kemasan kulit Lavalina dan jahitan biru/hijau.

Melihatkan kepada senarai kelengkapan yang serba panjang, harga jualan Alpina XB7 ini tidaklah semurah yang disangka, iaitu bermula dari $141,300 (RM614,016) termasuk kos destinasi $995 (RM4,324).

Tempahan sudah boleh dibuat bermula Mei ini manakala proses penghantaran pula dijadualkan pada September nanti.