BMW dan Alpina mengesahkan model konsep tersebut bakal menjadi asas kepada model produksi pertama era baharu Alpina yang dijadual dilancarkan tahun depan.
Diinspirasikan Daripada BMW 7 Series
Menurut BMW, model produksi pertama Alpina di bawah pengurusan penuh BMW Group akan diinspirasikan daripada platform BMW 7 Series.
Vision BMW Alpina tampil sebagai coupe mewah bersaiz besar dengan panjang keseluruhan sekitar 204.7 inci, lebih pendek berbanding 7 Series semasa tetapi masih lebih panjang daripada 5 Series.
BMW turut mengesahkan konsep ini menggunakan enjin V8, namun tiada butiran kuasa didedahkan setakat ini. Apa yang pasti, karakter bunyi enjinnya digambarkan mempunyai nada dalam pada kelajuan rendah dan lebih garang ketika rev tinggi.
Rekaan Lebih Elegan Dan Eksklusif
Dari segi reka bentuk, Vision BMW Alpina menampilkan identiti lebih eksklusif berbanding model BMW biasa.

Bahagian depan menggunakan elemen lampu ultra nipis bersama gril kidney bercahaya dengan rekaan tiga dimensi. Turut kelihatan ialah identiti “shark nose” pada muncung hadapan serta logo Alpina pada apron bawah.

Satu lagi elemen ikonik yang dikekalkan ialah rekaan rim 20-spoke khas Alpina yang telah digunakan sejak tahun 1971. Rim tersebut bersaiz 22 inci di depan dan 23 inci di belakang.
Di belakang pula, model konsep ini hadir dengan empat muncung ekzos berbentuk elips bersama diffuser yang tampil lebih kemas dan elegan.


Kabin Hampir Sedia Produksi
Bahagian dalaman Vision BMW Alpina pula dilihat hampir sedia untuk produksi.
Ia menggunakan rekaan kabin generasi baharu BMW lengkap dengan sistem BMW Panoramic iDrive, skrin penumpang serta susun atur minimalis yang mengurangkan penggunaan butang fizikal.


Ketua Reka Bentuk BMW Group, Adrian van Hooydonk berkata Alpina sejak dahulu mempunyai identiti tersendiri yang menggabungkan prestasi dan keselesaan dalam satu pakej.
Menurut beliau, BMW mahu memastikan identiti tersebut terus dikekalkan dalam era baharu Alpina.
Era Baharu Alpina Bermula
BMW memperlihatkan Vision BMW Alpina ketika acara Concorso d’Eleganza Villa d’Este tahun ini.
Untuk rekod, Alpina diasaskan pada tahun 1965 dan terkenal sebagai syarikat yang mengubah suai serta memperhalusi model-model BMW dengan karakter lebih eksklusif dan mewah.
Selepas diambil alih BMW pada awal 2026, jenama Alpina dijangka berubah daripada sekadar “tuner” kepada sub-jenama mewah berprestasi tinggi yang lebih eksklusif di bawah BMW Group.