Alpina B5 GT - nadi V8 634 hp, 850 Nm, mampu cecah 330 km/j!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira tiga tahun yang lalu, Alpina telah melancarkan model 5 Series yang telah ditala dengan nama B5, serta versi D5 bagi mereka yang mahukan khidmat enjin diesel.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Syarikat penala itu baru-baru ini telah mengemaskini penawaran B5 dengan melancarkan Alpina B5 GT yang boleh didapati dalam versi sedan ataupun wagon.

Selain itu, ia turut menampilkan enjin talaan Alpina yang paling berkuasa pernah dihasilkan.
 

B5


Alpina B5 GT membawakan nadi bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar dengan ubahsuai liang kemasukan udara yang telah dioptimasikan dan peredam kemasukan udara, selain mengemaskini tekanan boost dan perisian enjin yang digunakan.

Hasilnya, ia mampu menjana kuasa setinggi 634 hp dan daya kilas 850 Nm, peningkatan sebanyak 13 hp dan 50 Nm berbanding talaan asal.

Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.
 

B5


Pecutan 0-100 km/j mampu diselesaikan dalam masa kurang 3.4 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 330 km/j, sementara model wagon pula sedikit perlahan dengan pecutan 0-100 km/j kurang 3.6 saat dan kelajuan tertinggi 322 km/j.

Untuk memastikan sedan dan wagon ini berhenti dengan cekap, Alpina telah memasang sistem brek Brembo yang terdiri daripada angkup empat omboh, dan rotor bersaiz 15.5 inci di depan diikuti rotor 15.7 inci di bahagian belakang.
 

B5


Antara perincian yang dimuatkan termasuklah tip ekzos berkembar salutan titanium nitrida, rim 20 jejari bersaiz 20 inci dengan kemasan Marron Volciano, dan pilihan warna standard biru atau hijau, serta enam warna khas (Arctic Race Blue, Petrol Mica, Verde British Racing, Chalk, Imola Red, Daytona Violet).

Kemasan ruang kabin pula terdiri daripada balutan kulit Nappa atau kulit Merino, pilihan tempat duduk standard atau sports, serta pelbagai pilihan trim yang boleh didapati bergantung kepada kesesuaian dan ketebalan dompet anda.
 

B5


Alpina B5 GT hanya akan dihasilkan sebanyak 250 unit sahaja, dengan harga jualan bermula dari EUR145,500 (RM678,238) untuk versi sedan, dan EUR148,500 (RM692,222) untuk versi wagon.