Alphard super mewah - Lexus LM sedia 'serang' pasaran Asia

oleh Mohamad Hanif|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Akhirnya, minivan yang dinanti-nantikan telah pun tiba apabila Lexus selesai melancarkan model baharu LM sebagai pilihan yang lebih mewah kepada varian 'marhaen' Alphard dan Vellfire. 

Walaupun masih memakai platform yang sama, namun sebagai sebuah jenama mewah, Lexus tahu cara untuk menawarkan LM sebuah pilihan yang lebih premium dan lebih mahal.

Membawakan rekaan grill yang sangat ikonik dengan bahasa rekaan Lexus ketika ini, ia juga diselarikan dengan rekaan lampu yang diinspirasikan daripada sedan ES dan LS. 
 


Manakala reka bentuk bumper belakang pula diberikan nafas baharu bagi menjadikan Lexus LM ini lebih berseri, dan diserikan lagi dengan padanan lampu utama belakang jenis LED. 

Memasuki ruang dalaman pula, Lexus mendatangkan konfigurasi empat tempat duduk sahaja, dan ruang penumpang belakang pula dipisahkan dengan kehadiran dinding yang memuatkan paparan bersaiz 26 inci, peti sejuk, jam dan ruang storan payung. 

Jika anda masih ingat Privacy Suite oleh Rolls-Royce, ini pula adalah versi tersendiri untuk Lexus LM. 
 


Penumpang belakang didatangkan dengan tempat duduk yang cukup mewah, lengkap dengan suis kawalan di bahagian tengah untuk akses kepada fungsi-fungsi utama. 

Namun usah risau, Lexus juga dikatakan akan hadir dengan versi tiga baris tempat duduk, sesuai bagi mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga. 
 


Lexus LM dikhususkan buat pasaran China dan sesetengah pasaran Asia dengan dua pilihan varian - LM 350 dan LM 300 h - dan konfigurasi pacuan roda hadapan dan pacuan semua roda. 

Lexus LM 350 dikuasakan enjin 3.5 liter bentangan V6 manakala versi hibrid LM 300 h pula hadir dengan enjin 2.5 liter empat silinder sebaris kitaran Atkinson. 
 


Jika anda merasakan Toyota Alphard/Vellfire masih terlalu asas, Lexus LM ini adalah pilihan yang lebih sesuai dengan jiwa anda.  

Pasti ramai rakyat Malaysia terutama ahli politik dan individu MLM yang tidak sabar mahukan minivan ini sampai ke tangan mereka. 

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Kehadiran model Denza D9 mampu memberikan cabaran kepada model pesaing seperti Lexus LM, Volvo EM90…
Berita Global
  Berkenaan enjin, hanya satu pilihan yang ditawarkan iaitu 2.5 liter hibrid berkuasa 247 bhp dan…
Berita Global
Generasi keempat Alphard/Vellfire dibangun menggunakan pelantar TNGA-K, dengan tahap ketegaran…