Stelvio Ti menggantikan Milano Edizione yang merupakan varian tertinggi Stelvio. Varian baharu ini tampil dengan beberapa kelengkapan istimewa seperti kemasan gentian karbon, suspensi sport dan pelbagai teknologi sebagai spesifikasi standard.
Di antara ciri standard ialah gril V dan kamera sisi gentian karbon, logo Stelvio dan Q4 berwarna gelap, angkup brek merah dan roda aloi 20 inci.
Pada bahagian dalam, pintu but kini dengan fungsi bebas tangan, papan pemuka dibalut kulit, cermin dilapis baharu untuk lebih kalis bunyi. Teknologi yang dilengkapi ialah Kawalan Jelajah Aktif dan Frequency Selective Damping (FSD).
Keistimewaan FSD ialah ia mampu menjadikan pengendalian lebih baik dengan mengekalkan tahap keselesaan. FSD menggunakan injap yang sensitif terhadap perubahan seterusnya mengawal tahap redaman (damping) secara hidraulik berdasarkan input dari jalan raya.
Alfa Romeo menawarkan dua pilihan enjin iaitu 2.0 liter turbo petrol berkuasa 280hp dan 400Nm pada 2,250 rpm. Enjin ini paling berkuasa dari segi pecutan dengan catatan masa 0 hingga 100 km/j dalam masa 5.7 saat sahaja dan kelajuan maksimum 230 km/j.
Satu lagi pilihan enjin ialah 2.0 liter diesel berkuasa 210hp. Daya pecutan dari 0-100 km/j mengambil masa 6.6 saat dan kelajuan maksimum 215 km/j.
Kedua-dua enjin empat silinder tersebut diperbuat daripada aluminium dan menggunakan aci pacu gentian karbon. Transmisi yang digunakan ialah lapan kelajuan automatik dengan pacuan kesemua roda Q4.
Alfa Romeo Stelvio Ti adalah SUV premium, harga bermula dari GBP£47,345 (RM246,049) untuk sebuah objek seni empat roda dari Itali ini.
Penulis: Muhammad Md Tajudin