Alfa Romeo Giulia GTA - lebih berkuasa, lebih ringan!

oleh Mohamad Hanif|
Kira-kira lima tahun lalu, Alfa Romeo mengejutkan dunia dengan pengenalan sedan kompak eksekutif Giulia dengan bahasa rekaan yang serba moden namun masih mengekalkan elemen asal Alfa Romeo.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Turut menarik perhatian adalah pengenalan sedan berprestasi tinggi Giulia Quadrifoglio (dalam bahasa Itali membawa maksud clover berdaun empat) bagi melawan penguasaan Mercedes-AMG C 63, dan BMW M3. 

Kini, Alfa Romeo bangkit semula dengan membawakan dua buah model Giulia yang lebih serius, dan lebih ringan, iaitu Giulia GTA dan Giulia GTAm. 
 


GTA atau Gran Turismo Alleggerita (Grand Touring Lightened), membawa maksud model ini telah menjalani program diet supaya lebih ringan 100 kilogram berbanding model yang terdahulu. 

Dengan kelebihan tersebut, sedan ini mampu memecut sepantas 3.6 saat dari 0-100 km/j. 

Bukan itu sahaja, Alfa Romeo turut menala kembali enjin 2.9 liter V6 supaya mampu menghasilkan 533 kuasa kuda (enjin asal menghasilkan 505 kuasa kuda), serta sistem ekzos titanium dari Akrapovic. 
 


Aspek pengendalian turut diberikan tumpuan dengan melebarkan trek depan dan belakang sebanyak 50 mm, dan fender yang lebih lebar diperlukan bagi menampung penambahan dimensi tersebut. 

Selain daripada itu, sistem suspensi, penyerap hentak, bushing juga turut ditukar bagi menambahbaik aspek pengendalian Alfa Romeo Giulia GTA ini. 

Pengurangan berat sebanyak 100 kilogram itu tadi disumbangkan oleh penggunaan bahan gentian karbon di sesetengah tempat seperti hud, bumbung, bumper hadapan, dan juga fender. 

 


Tidak cukup dengan itu, sedan ini turut menampilkan splitter hadapan aktif, sayap belakang dan diffuser yang cukup besar. 

Keempat-empat sudut tayar telah dipakaikan dengan set rim bersaiz 20 inci dengan rekaan yang menyerupai bentuk daun clover. 

Untuk versi GTAm yang lebih serius, anda hanya akan menerima sebuah sedan empat pintu dengan dua tempat duduk, harness enam poin, sangkar oleng dan ketiadaan tempat duduk belakang, namun masih halal digunakan di atas jalan raya. 

Di bahagian luar pula, Giulia GTAm menerima beberapa komponen khas seperti splitter hadapan dan sayap belakang daripada gentian karbon. 
 


Ruang kabin Giulia GTA pula dihiasi dengan penggunaan bahan Alcantara termasuk di papan pemuka, panel pintu, tiang dan juga bahagian tengah tempat duduk. 

Manakala versi Giulia GTAm pula didatangkan dengan tempat duduk gentian karbon dengan ruang belakang yang kosong dihiasi dengan Alcantara.

Tingkap sisi dan belakang pula telah dibuang dan digantikan dengan penggunaan bahan Lexan. 
 


Menariknya, setiap pembelian Alfa Romeo Giulia GTA atau GTAm akan menerima barangan khas seperti helmet Bell dengan liveri GTA, serta sut perlumbaan Alpinestars termasuk sarung tangan dan kasut.

Pembeli bertuah juga akan memakai sut ini sepanjang kelas pemanduan khas yang akan diadakan di Alfa Romeo Driving Academy.

Malangnya, Alfa Romeo Giulia GTA dan GTAm hanya ditawarkan untuk para pembeli di benua Eropah sahaja, buat masa ini. 

Berita Berkenaan

Berita Global
Sifat platform yang sangat fleksibel ini membolehkan Stellantis menghasilkan pelbagai jenis model…
Berita Domestik
Untuk pasaran Malaysia, kumpulan itu sekarang diwakili oleh Peugeot sahaja dan bulan November lalu…
Berita Global
Satu daripadanya ialah sedan Giulia EV yang akan tiba tahun 2025, diikuti pengganti Stelvio pada…