Alfa Romeo 33 Stradale 2024 - supercar paling cantik kembali, 33 unit sahaja

oleh Mohamad Hanif|
Ucapkan selamat datang kepada supercar terbaharu daripada Alfa Romeo, iaitu 33 Stradale 2024.

MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Reka bentuk supercar terbaharu ini sebenarnya memang diinspirasikan daripada salah satu supercar tercantik dalam dunia, Alfa Romeo Tipo 33 dan 33 Stradale yang wujud era 1960-an.

Menariknya, Alfa Romeo 33 Stradale 2024 ini boleh didapati dalam dua versi trenkuasa, dengan kelajuan tertinggi 333 km/j dan pecutan 0-100 km/j bawah tiga saat.
 

Alfa Romeo


Versi enjin pembakaran dalaman mendapat nadi bentangan V6 turbo berkembar yang sama dengan model Maserati MC20, dengan hamburan kuasa 620 hp yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar lapan kelajuan dan pembeza gelincir terhad elektronik.

Sementara versi mesra alam pula didatangkan dengan motor elektrik yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 750 hp dengan jarak gerak sejauh 450 km (data WLTP).
 

alfa


Casis 33 Stradale moden ini menggunakan kerangka monocoque gentian karbon yang lebih ringan dan tegar, dipadankan dengan bumbung gandingan aluminium dan gentian karbon, serta bukaan pintu klasik rama-rama.

Untuk meminimumkan berat badan, kerangka tingkap telah diperbuat daripada gentian karbon, sementara panel badan pula diperbuat daripada bahan polikarbonat.

Biarpun tanpa bantuan sistem aerodinamik aktif, Alfa Romeo 33 Stradale dengan reka bentuk retro ini mampu mencapai angka pekali seretan (drag coefficient) serendah 0.375.
 

stradale


Rekaan dalaman 33 Stradale ini dilihat banyak mengambil inspirasi daripada kokpit kapal terbang, di mana anda boleh mencapai segala butang kawalan dan fungsi kenderaan menerusi konsol tengah dan suis pada bahagian bumbung yang diperbuat daripada bahan aluminium.

Tiada skrin infohibur yang disediakan, apa yang wujud hanyalah skrin digital pada meter analog yang sangat cantik dan klasik itu.

Sementara roda stereng pula sengaja direka kosong tanpa sebarang butang kawalan disediakan, menjadikan bahagian tersebut lebih ringkas dan bersih.
 

stradale


Mencari butang launch control? Fungsi butang Quadrifoglio itu memang tiada dipasang pada roda stereng, sebaliknya sengaja diletakkan pada konsol tengah.

Alfa Romeo 33 Stradale ini dibangunkan di Balocco Proving Grounds di Itali dengan bantuan pemandu F1 Valtteri Bottas, di mana terdapat dua (ya, dua sahaja) mod pemanduan yang disediakan, iaitu Strada dan Pista.

Dalam mod Strada (jalanan), ia mampu menjadikan pemanduan yang lebih selesa dan selancar mungkin dengan sistem ekzos yang lebih senyap, sementara dalam mod Pista (litar) pula, sistem injap ekzos akan dibuka untuk memberikan runut bunyi enjin yang lebih syahdu, sistem pedal pendikit yang lebih sensitif dan talaan suspensi yang lebih agresif.
 

stradale


Sistem brake-by-wire Brembo itu mampu menghentikan 33 Stradale ini dari 100-0 km/j dalam jarak 33 meter.

Tidak seperti 33 Stradale terdahulu yang hanya dihasilkan sebanyak 18 unit, Alfa Romeo 33 Stradale 2024 ini akan dihasilkan sebanyak 33 unit sama ada dalam trim Tributo atau Alfa Corse.

Sayang sekali, kesemua 33 unit telah pun habis terjual, sebelum sempat anda mengira baki akaun yang tersisa untuk bulan ini.
 

stradale


Pembeli dari Eropah, Amerika Utara dan wilayah lain akan diberikan peluang untuk menyesuaikan jentera mereka mengikut kehendak masing-masing menerusi divisyen "Bottega", dan ini bermakna tiada dua Alfa Romeo 33 Stradale yang keluar dari kilang mempunyai spesifikasi yang sama.