Alexander Karajlovic, Pengurus Projek BMW XM dilantik Naib Presiden dan Ketua Pembangunan BMW M!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Alexander Karajlovic
Alexander Karajlovic
BMW pernah mengejutkan dunia automotif apabila melancarkan XM, sebuah SUV berprestasi tinggi dengan reka bentuk unik.

Di sebalik projek tersebut berdirinya Alexander Karajlovic, individu yang kembali semula ke BMW M GmbH sebagai Naib Presiden merangkap Ketua Pembangunan baharu.

Beliau menggantikan Dirk Häcker yang menamatkan perjalanan panjang 11 tahun mengemudi pembangunan BMW M dan 37 tahun dalam BMW Group.

Pertukaran kepimpinan ini hadir pada ketika BMW M berada dalam fasa paling kukuh sepanjang sejarahnya.
Dirk Häcker
Dirk Häcker

 

Dalam lebih sepuluh tahun ini, BMW M terus menambah model baharu, peningkatan mutu pembangunan dan mengekalkan jualan yang kukuh, hasil asas teknikal yang dibina sepanjang era Häcker.

Profil Karajlovic pula menjadikan beliau tokoh tepat untuk menyambung kesinambungan tersebut dengan pengalaman langsung dalam projek berprestasi dan elektrifikasi.

Karajlovic bukan pendatang baharu. Di antara 2017 hingga akhir 2020, beliau memegang tanggungjawab pembangunan BMW X dan mengetuai projek BMW XM dan tidak asing dengan hala tuju elektrifikasi BMW M.

Dari Januari 2021 hingga Mei 2023, beliau menerajui BMW M Product Line sebelum berpindah ke bahagian pembangunan BMW Group, khusus dalam bidang Keperluan, Konsep dan Integrasi Pengalaman Pemanduan.

 

BMW XM 2023

 

Kini, beliau kembali ke BMW M GmbH untuk mengemudi jabatan yang membentuk nadi prestasi jenama tersebut.

Sementara itu, perjalanan kerjaya Dirk Häcker melakar sejarah tersendiri.

Bermula pada 1988 dan bergiat aktif dalam dinamik pemanduan serta pembangunan kenderaan sejak 2001, beliau mengambil alih kepimpinan Pembangunan BMW M mulai 2015.

Apa yang menjadikan kerjaya Dirk Häcker dalam industri automotif luar biasa ialah gabungan kepimpinan dengan peranan sebagai instruktor jangka panjang BMW Driving Experience.

 

Dirk Häcker

 

Ini sekali lagi menunjukkan betapa mendalam minat beliau terhadap BMW M, selari dengan kepakarannya dalam dinamik pemanduan.

Sepanjang tempoh kepimpinannya, BMW M melahirkan model prestasi merangkumi semua kelas kenderaan di mana setiap satu menggabungkan DNA perlumbaan dengan praktikaliti yang menjadi identiti utama divisyen itu.

Selain mencapai jualan yang cemerlang dari tahun ke tahun, model-model BMW M turut menerima pelbagai anugerah dalam acara industri dan undian pembaca.

 

Alexander Karajlovic
Alexander Karajlovic

 

Contoh terkini ialah BMW M5 Touring yang dianugerahkan Golden Steering Wheel Jerman yang berprestij sebagai kereta baharu terbaik dalam kategori Upper/Luxury Class.

Dengan pelantikan Alexander Karajlovic, BMW M GmbH membuka lembaran baharu dalam pembangunan teknikal.

Pengalaman dalam elektrifikasi, pengurusan produk dan DNA M menjadikan beliau tokoh utama untuk memimpin fasa seterusnya BMW M.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

BMW M5 Touring 2024