Alexandar Nanta - Kadar tol Lebuh Raya WISE tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya

oleh Penyumbang Rencana|
foto hiasan
Kadar tol bagi projek pembinaan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE), yang menghubungkan Gopeng ke Kuala Kangsar di Perak dan dijangka siap pada 2028, tidak akan dinaikkan sewenang-wenangnya, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi.

Beliau berkata anggaran kos pembinaan lebuh raya itu telah dimuktamadkan oleh kerajaan berdasarkan reka bentuk dan skop kerja yang disediakan oleh perunding professional bertauliah yang dilantik syarikat konsesi, menerusi proses Makmal Pengurusan Nilai.

"Anggaran kos yang dimuktamadkan antara kerajaan dengan syarikat konsesi itu berdasarkan kadar harga semasa yang diguna pakai bagi memastikan anggaran kos yang munasabah.

"Dalam konteks ini, ia termasuk dalam pengiraan kadar tol yang akan dikenakan. Jadi, sebarang perubahan skop kerja yang melibatkan pertambahan kos pembinaan perlu ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi, seperti yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi," katanya semasa soal jawab di Dewan Negara pada Khamis.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar yang ingin mengetahui pihak yang mengawal kos pembinaan lebuh raya terbabit serta maknisme bagi memastikan kadar tol tidak membebankan pengguna.

Nanta berkata penentuan kadar tol sesebuah lebuh raya adalah berdasarkan cadangan aliran tunai oleh syarikat konsesi yang mengambil kira kos pembinaan, unjuran trafik, kos operasi dan penyelenggaraan.

"Semua perkara telah diperhalus dan diperakukan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) sebelum dibawa ke peringkat pertimbangan Jemaah Menteri," katanya.

Sebelum ini dilaporkan jajaran projek WISE menelan belanja kira-kira RM6.2 billion bagi menyediakan laluan alternatif kepada pengguna Terowong Menora yang sering menghadapi kesesakan disebabkan bilangan kenderaan berat yang tinggi.

Projek Lebuhraya WISE melibatkan lebuh raya bertol dari Kuala Kangsar ke Gopeng melalui Siputeh dan Batu Gajah dengan anggaran 60.88 kilometer secara penswastaan.

Kadar tol yang ditetapkan bagi lebuh raya itu adalah sebanyak 23 sen per kilometer bagi tempoh konsesi selama 55 tahun termasuk empat tahun tempoh pembinaan. 

Bernama

Berita Berkenaan

Berita Domestik
Projek itu sudah diluluskan secara dasar oleh Kementerian Kewangan, sejauh 65km jajaran sebelum Gua…