AKXY2 Concept - ruang tamu bergerak futuristik

oleh Mohamad Hanif|
Syarikat multinasional Jepun yang mempunyai kepakaran dalam produk kimia, Asahi Kasei menyambut ulang tahun yang ke-100 dengan memperlihatkan sebuah konsep ruang tamu atas roda futuristik yang dinamakan sebagai AKXY2.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Menerusi model konsep ini, Asahi Kasei memperlihatkan bagaimana kemampanan, kepuasan dan masyarakat mampu mempengaruhi keperluan mobiliti masa depan yang sedang menuju ke arah automasi dan elektrifikasi.

AKXY2 ini menampilkan konsep rekaan terpisah yang membahagikan seksyen bawah dan juga bumbung kanopi kaca yang boleh dinaikkan, diikuti dengan rekaan pintu yang boleh dilipat ke bawah bagi memudahkan akses keluar masuk.
 

AKXY2


Dari segi rupa luaran, ia membawakan rekaan yang aerodinamik, sementara tayar S-SBR pula diperbuat daripada bahan butadiene berasaskan bio yang mempunyai ciri rintangan golekan yang rendah.

Sementara ruang kabin pula menempatkan bangku kecil ottoman, dua kerusi individu berasingan yang dibaluti bahan yang dikitar semula seperti botol PET dan PTT, upholsteri gentian mikro Dinamica, meja kayu  yang kecil serta paparan informasi yang minimalis.

Tiada sebarang perkakasan pemanduan dibekalkan, kemungkinan besar konsep ini merupakan sebuah kenderaan autonomi penuh.
 

AKXY2


Tidak cukup dengan itu, AKXY2 ini turut membawakan beberapa teknologi menarik, seperti fabrik anti-mikrob, serta penderia CO2 yang mampu meningkatkan kualiti udara di dalam kabin.

Menurut Pengarah Mobiliti Asahi Kasei Amerika Utara, Mike Franchy berkata, "AKXY2 memperlihatkan kepakaran kami sebagai rakan yang dipercayai kepada syarikat OEM dan Tier-1 bagi kedua-dua teknologi luaran dan juga dalaman.

Konsep ini akan dipamerkan dalam beberapa acara pada masa akan datang, seperti North American International Auto Show (September 2022) dan CES (Januari 2023).