Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kejadian berlaku ketika polis menjalankan Op Utama kira-kira jam 9 pagi di Jalan Pintasan.
“Polis cuba menghentikan sebuah kereta yang dinaiki dua suspek untuk pemeriksaan, namun pemandunya, lelaki berusia 34 tahun bersama rakannya, 24 tahun, bertindak memecut bagi mengelak diperiksa.
“Arahan supaya mereka memberhentikan kenderaan diberikan beberapa kali, tetapi mereka terus memecut sehingga mencetuskan aksi kejar-mengejar hampir tujuh kilometer.
“Akhirnya, kedua-dua suspek berjaya diberkas selepas anggota polis mengepung mereka di Sungai Abong,” katanya dalam kenyataan.
Saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif methamphetamine serta mempunyai rekod jenayah dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Aksi kejar-mengejar antara polis dan suspek turut tular di media sosial selepas rakaman video berdurasi 13 saat dimuat naik ke Facebook.