Akses laluan ke Merdeka 118, Belfield Tunnel kini telah dibuka

oleh Firdaus Razani|
Para pengunjung ke Merdeka 118 kini boleh menggunakan laluan yang lebih lancar untuk menuju ke presint ini dengan pembukaan rasmi Belfield Tunnel.

Projek infrastruktur oleh PNB Merdeka Ventures Sdn Berhad (PMVSB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB), akan membuka satu lagi jalan masuk ke Menara Merdeka 118, menara kedua tertinggi di dunia, sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama di ibu kota.

Meliputi jarak lebih dari satu kilometer, Belfield Tunnel ialah terowong dua tingkat kedua Malaysia, yang direka secara eksklusif untuk kenderaan yang berulang-alik ke Merdeka 118.

Jalan ini menyediakan laluan masuk dan keluar alternatif, untuk melancarkan aliran trafik dan mengurangkan kesesakan di pusat bandar raya.

 

png

 

Ketua Pegawai Eksekutif PMVSB, Datuk Tengku Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, “Matlamat kami ialah untuk menyediakan perjalanan yang lancar dan menyenangkan ke ibu kota, memudahkan kunjungan untuk semua dengan sebanyak 8,000 ruang tempat letak kereta disediakan.

Belfield Tunnel boleh diakses menerusi dua jalan masuk, iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Damansara, yang membawa kenderaan terus ke tempat letak kereta bawah tanah 4 di Menara Merdeka 118.

Untuk bergerak keluar, kenderaan boleh dipandu dari tempat letak kereta bawah tanah 5 menuju ke dua jalan keluar, iaitu Jalan Syed Putra dan Jalan Istana.

Kemudahan masuk strategik ini bertujuan mengurangkan kesesakan di jalan-jalan utama bandar raya dan menambah baik aliran trafik di kawasan sekitar, mengurangkan pertambahan lalu lintas kenderaan di sekitar presint Merdeka 118, iaitu Jalan Hang Jebat, Jalan Hang Tuah, dan Jalan Maharajalela.

 

pnb

 

Dengan pembukaan Belfield Tunnel, pengunjung kini boleh keluar masuk ke presint Merdeka 118 dengan mudah.

Sama ada untuk urusan perniagaan, beriadah atau pelancongan, kerja naik taraf yang dirancang rapi ini jelas menambah baik kemudahan perjalanan kenderaan.

Terowong ini juga boleh digunakan oleh pengunjung ke satu-satunya hotel Park Hyatt Kuala Lumpur di Malaysia dan juga ke pusat beli-belah 118 Mall, yang kedua-duanya akan dibuka pada Q2 2025 dan Q2 2026, memastikan laluan keluar masuk yang lancar untuk menikmati penginapan mewah dan pengalaman beli-belah yang menyeronokkan untuk semua.

Bagi memudahkan perjalanan, panduan video disediakan untuk membantu pengunjung menggunakan Belfield Tunnel dengan lancar.