Akio Takeyama, Akira Iida sertai S1K hujung minggu ini!

oleh Mohamad Hanif|
Bersempena perlumbaan Sepang 1,000 km (S1K) yang bakal berlangsung minggu ini, Wing Hin Motorsports, sebuah nama yang tidak asing lagi dalam perlumbaan di negara ini akan menyediakan dua buah Toyota Vios.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02

Ini termasuk kereta bernombor 39 dengan corak warna pasukan “Toyota GAZOO Racing Malaysia” dengan penampilan sulung oleh Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama yang juga merupakan Ketua Pegawai Sukan Permotoran TGR yang turut berlumba di dalam Vios Challenge.

Kereta-kereta berkenaan akan bersaing di Litar Antarabangsa Sepang hujung minggu ini di dalam kelas MTC bagi kereta produksi diubahsuai dengan kapasiti di bawah 1,600 cc menggunakan enjin talaan TRD dan casis Toyota Vios yang sediakan dikemudahan Wing Hin di Balakong, Selangor.

Berdasarkan prestasi yang membanggakan pasukan berkenaan di dalam perlumbaan sama tahun lalu, serta kedudukan podium yang dicatatkan oleh Boy Wong dan William Ho, ketua Wing Hin Motorsports, Simon Loh sangat yakin jentera-jentera berkenaan akan memberi saingan sengit di dalam acara tahun ini.
 

 

"Dengan data-data berharga yang dikumpulkan tahun lalu, begitu juga dengan alatan-alatan baru yang kami perolehi hasil kerja sama dengan TRD serta pengalaman luas bekas pemandu pembangunan Toyota GAZOO Racing, Akira Iida yang akan memandu untuk kami tahun ini, saya percaya kami mempunyai pakej yang mampu memberi saingan sekali lagi," ujar Simon.

Perlumbaan Sepang 1,000 km telah menjadi penanda aras tersendiri di dalam kalendar perlumbaan litar di negara ini yang bakal menyaksikan sejumlah 70 kereta berasaskan model produksi yang ada di Malaysia akan berada di kedudukan grid permulaan.

"S1K bukanlah hanya tentang kepantasan, sebaliknya apa yang lebih penting ialah keserasian kerjasama sebagai sebuah pasukan, merencana strategik dengan berkesan serta mengekalkan fokus pemanduan disepanjang perlumbaan tersebut. Dengan rakan kerjasama yang baik seperti Toyota, TRD, minyak pelincir Moty's dan Motec yang menyokong kami, kedua-dua jentera sepatutnya mampu berada dalam kedudukan teratas sekiranya dapat mengelak daripada sebarang kejadian di dalam litar," tambah beliau.
 

 


Turut membawa bersama pengalaman luasnya ke dalam pasukan bagi tahun ini ialah pemandu lagenda jentera touring Jepun, Akira Iida.

Dengan enam kali sebagai penamat di dalam perlumbaan Le Mans 24-hour dalam genggamannya, peranan Akira juga sangat penting di dalam membangunkan sisi daya saing Toyota GAZOO Racing, terutamanya untuk siri Japan Super GT.

Beliau juga merupakan anggota penting bagi pasukan ROOKIE Racing yang membangunkan jentera lumba Toyota 86 untuk Presiden Toyota Motor Corporation, Akio Toyoda dan anaknya, Daisuke Toyoda bagi Perlumbaan Super Endurance 24-hour di Fuji Speedway, awal tahun ini.

Bagi perlumbaan S1K, Akira Iida akan berkongsi untuk menggalas tanggungjawab sebagai pemandu bersama Akio Takeyama dan William Ho yang turut berlumba di dalam Toyota GAZOO Racing Vios Challenge. Sementara itu, kereta kedua bagi pasukan Wing Hin Motorsports pula akan dikendalikan oleh Boy Wong dan Dannies Ng.

Dengan kesungguhannya terhadap sukan permotoran, penyertaan Akio Takeyama di dalam S1K dilihat sebagai cara untuk beliau mendapatkan lebih banyak jarak di dalam litar perlumbaan bagi memperhalusi lagi kemahirannya untuk berlumba bersama nama-nama besar lain yang turut akan memberi saingan.

"Dengan hanya berlumba di dalam Vios Challege untuk dua musim setengah setakat ini, menyertai S1K akan menjadi sesuatu yang sangat baru dan menyeronokkan bagi saya. Saya melihatnya sebagai peluang untuk mencabar kemampuan saya sendiri di dalam litar. Saya juga ingin mempelajari seberapa banyak input berharga daripada ahli dalam pasukan seperti Iida dan William Ho, yang mempunyai pengalaman yang kaya dalam perlumbaan," ujar Takeyama.

Perlumbaan S1K akan bermula sekitar tengah hari 23 November 2019 dengan bendera penamat dijangka akan dikibarkan sekitar jam 9 malam.

Berita Berkenaan

Sukan Bermotor
Hafizh Syahrin akan bertanding mewakili pasukan HI-REV SIC Dream Chaser menggunakan jentera Toyota…