AirAsia tawar kerja tetap kepada 'rider' gig

oleh SALINA JALIL|
gambar hiasan
AirAsia Super App menjadi platform pertama di Asia yang menawarkan pekerjaan sepenuh masa untuk penunggang atau 'rider' gig sebagai sebahagian daripada komitmennya dalam memberikan persekitaran kerja yang lebih baik, kestabilan pekerjaan dan meningkatkan peluang pendapatan mereka.


Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes berkata, semua rakan penghantar AirAsia Food dan AirAsia Xpress akan diambil bekerja secara sepenuh masa dan bakal mendapat manfaat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), perlindungan perubatan yang juga dapat dimanfaatkan oleh pasangan dan anak-anak, cuti tahunan, dan faedah perjalanan seperti skim Penerbangan AirAsia ID90 dan e-kupon.
Perodua Aruz for Nov 2022 MREC

 

Menurutnya, penunggang gig juga akan menerima pendapatan terjamin sehingga RM3,000 sebulan, latihan eksklusif penunggang AirAsia serta perlindungan kemalangan peribadi percuma.

Katanya, penunggang juga layak memperoleh insentif tambahan berdasarkan prestasi mereka.

 

"Kami sangat teruja untuk mengalu-alukan para penunggang gig ini ke dalam keluarga besar kami. Seperti yang diketahui ramai, AirAsia sentiasa mengutamakan ahli masyarakat, dan kami percaya bahawa mereka adalah aset terbesar kami.

 

"Ini terpakai di semua unit perniagaan Capital A, termasuklah AirAsia Super App. Sama seperti pengendali bagasi, krew kabin dan juruterbang kami adalah tulang belakang perniagaan penerbangan kami, pekerja gig ini adalah wira dalam operasi penghantaran kami.

 

"Kami tidak percaya pada kakitangan kontrak dan kini akan bergerak ke arah menggaji semua penunggang sebagai pekerja sepenuh masa, menerima faedah sama yang diterima oleh setiap Allstar, di samping faedah terbaik daripada AirAsia Food dan AirAsia Xpress," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

 

Beliau berkata, AirAsia telah mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan di seluruh rantau ini dan sangat bergantung kepada perkhidmatan penting pekerja gig untuk perkhidmatan gaya hidup seperti penghantaran makanan dan bungkusan.

 

 

"Memberi pekerjaan sepenuh masa kepada penunggang gig kami adalah lebih daripada sekadar menawarkan faedah Allstar kepada mereka. Ia adalah tentang menambah nilai kepada kehidupan dan laluan kerjaya mereka, membolehkan mereka untuk mempunyai impian dan menjadikan impian itu kenyataan.

 

"Dengan menjadi pekerja sepenuh masa, mereka adalah sebahagian daripada ekosistem Capital A yang lebih besar, di mana mereka akan mempunyai peluang untuk meneroka dan mengembangkan kerjaya mereka dengan lebih lanjut," katanya.

 

Dalam pada itu, penunggang AirAsia Food, Muhammad Redzuan Mohammed Afni yang telah ditawarkan pekerjaan sepenuh masa mengakui berbangga untuk menjadi sebahagian daripada syarikat yang menjaga kakitangannya dengan baik.

 

"Kini, saya mampu menarik nafas lega kerana mengetahui saya dapat menjalankan perkhidmatan penghantaran saya dengan pendapatan yang terjamin, kestabilan pekerjaan, dan faedah lain yang membolehkan saya untuk menyara keluarga dan mendapatkan taraf hidup yang lebih baik," katanya.

 

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Informasi
  “Lion Air mencatatkan tahap ketepatan masa hanya 42.27 peratus dengan kadar pembatalan…
Informasi
  Sempena penyambungan semula perkhidmatannya, AAX meraikan penerbangan tersebut dengan majlis…
Informasi
  Pengenalan itu adalah bukti komitmen AirAsia Malaysia untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai…