Menurutnya penerbangan ke/dari Quanzhou akan bermula semula dua kali seminggu, manakala ke/dari Guilin akan bermula semula tiga kali seminggu, kedua-duanya berkuat kuasa pada 18 Julai 2023.
Penerbangan ke/dari Tianfu akan bermula dua sekali seminggu pada 1 Julai 2023 dan meningkat kepada tiga kali seminggu bermula 4 Julai 2023, katanya.
Menurut syarikat penerbangan itu, laluan baharu berkenaan kini termasuk dalam rangkaian luas sebanyak 15 laluan dengan lebih 129 penerbangan mingguan antara China dan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia Riad Asmat berkata, berikutan pembukaan sempadan China baru-baru ini kepada dunia dan permintaan yang kukuh, pihaknya berbangga untuk menghubungkan berjuta-juta tetamu bukan sahaja ke destinasi utama, malah ke bandar-bandar kedua yang kurang mendapat perkhidmatan dan melancarkan laluan unik seperti Quanzhou dan Guilin.
"China kekal sebagai pasaran utama untuk pertumbuhan masa depan kami dan kami akan terus mengkaji beberapa laluan berpotensi lain di China yang akan diumumkan tidak lama lagi," katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia Benjamin Ismail berkata China sentiasa menjadi antara destinasi terasnya untuk perjalanan udara jarak sederhana.
"Laluan terbaru kami ke Tianfu akan menjadi asas kepada lebih banyak penerbangan AirAsia X ke China dalam masa terdekat, yang akan meningkatkan secara ketara rangkaian Asia Utara kami.
"Berikutan sempadan China dibuka dengan pantas, kami akan melancarkan lebih banyak penerbangan ke/dari negara itu serta meningkatkan kekerapan pada laluan paling popular dan menguntungkan dalam rangkaian kami bagi jangka pendek hingga sederhana," katanya.
Sempena meraikan pelancaran laluan-laluan baharu ini, AirAsia menawarkan diskaun 20 peratus untuk semua tempat duduk melibatkan semua penerbangan merentasi 130 destinasinya termasuk semua penerbangan ke/dari China.
Promosi ini tersedia untuk tempahan bermula hari ini sehingga 21 Mei 2023 untuk tempoh perjalanan antara 1 Jun dan 14 Disember 2023, katanya.