Air terjun pengaruhi rekaan dalaman Hyundai Tucson 2021

oleh Muhammad Md Tajudin|
Hyundai Tucson 2021 Interior
Hyundai Tucson 2021 Interior
Hyundai pada 15 September 2020 telah memperkenalkan SUV Tucson generasi keempat dengan reka bentuk yang begitu menyerlah. 

Tucson merupakan model Hyundai terlaris di Eropah dan sejak dilancarkan pada tahun 2004 telah terjual lebih daripada tujuh juta unit di serata dunia.

Tucson generasi keempat membawakan identiti reka bentuk baharu Hyundai yang dikenali sebagai Sensuous Sportiness. 

Karakter reka bentuk tersebut adalah manifestasi kepada keharmonian di antara empat eleman asas iaitu perkadaran (proportion), senibina (architecture), gayaan dan teknologi.

Apa yang jelas ialah Tucson membawakan gayaan segar dan revolusi melalui garisan tajam dan permukaan badan bersegi.

Namun satu keadaan yang berbeza apabila menjengah ke bahagian dalam Tucson. Jika di luar sibuk dengan garisan dan segi lain pula di dalam yang tenang.
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 01
MITSUBISHI RAYA PROMO MREC Banner Campaign March 2024 - 02
Hyundai Tucson 2021

 

Kenapa begitu? Ini penjelasan dari Ketua Pusat Reka Bentuk Global Hyundai dan Naib Presiden Kanan Hyundai Motor Company, SangYup Lee.

Menurut beliau keadaan trafik terutama sekali di kawasan bandar sering menimbulkan tekanan bagi pemandu.

Oleh itu Hyundai berusaha untuk menghasilkan persekitaran dalaman bagi memaksimumkan keselesaan dan ketenangan.

Reka bentuk dalaman Tucson begitu kuat dipengaruhi oleh ketenangan air terjun yang mengalir besar atau mencurah ke bawah.

Ciri tersebut boleh dilihat dengan elemen atau reka letak butang kawalan ke bawah secara bersatu atau tersusun.

 

Hyundai Tucson 2021 Interior

 

Satu lagi ciri menarik ialah reka bentuk panel instrumen di sebalik stereng yang ringkas dan rata seterusnya menawarkan pandangan lebih luas buat pemandu. 

Ini berbeza dengan panel instrumen model pesaing di pasaran yang mempunyai saiz besar. Dengan Tucson hanya stereng keluar melepasi paras papan pemuka yang rata.

Tucson turut berbeza apabila Hyundai tidak menggunakan papar pandu (Head Up Display/HUD) yang merupakan trend semasa.

Skrin pada papan pemuka pula tidak terpantul pada cermin pada waktu malam melalui penggunaan filem anti silau.

Sudahnya, pemandu dapat menikmati pandangan tanpa gangguan nombor-nombor pada cermin depan.

Hanya objek-objek pada jangkauan mata perlu diberi perhatian semasa memandu.

 

Hyundai Tucson 2021 Interior

 

Bagi mewujudkan suasana dalaman lebih menyenangkan dan menenangkan, Tucson mempunyai lampu ambien dengan 64 pilihan warna dan sepuluh kadar kecerahan supaya sesuai dengan setiap mood.

Lagi ciri yang berbeza dengan model kebanyakan ialah Tucson tidak mempunyai tombol fizikal dan kesemua fungsi dikawal melalui sentuhan. Ia ibarat fungsian pada telefon pintar.

Di sebalik tema warna gelap Hyundai menggunakan garisan warna perak dari bahagian tengah papan pemuka hingga ke pintu belakang. 

Ini memberikan imej atau pandangan yang seragam.

 

Hyundai Tucson 2021

 

Sebagai kesimpulan, bahagian dalam Tucson baharu direka supaya memberi kesan menenangkan dan langsung berbeza dengan reka bentuk luar.

Ia seperti anda berada di dalam galeri seni dan memandang ke lukisan di dinding yang mewakili objek di luar kereta semasa memandu.

Satu lagi gambaran ialah ibarat anda duduk di tepi pantai yang bersih dengan air laut sejauh mata memandang.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

Hyundai Tucson 2021

 

Berita Berkenaan

Berita Global
Namun begitu Hyundai mengakui bahawa ujian itu adalah satu simulasi sahaja kerana ia dilakukan di…
Berita Global
  Jarak roda Sonata Taxi 70 milimeter (mm) lebih panjang berbanding teksi Sonata New Rise (…
Berita Global
  Saiz DAL-e Delivery sebenarnya lebih kecil berbanding model terdahulu dan dapat beroperasi…