Ahli Parlimen Bentong - Pembinaan plaza tol Genting Highlands tidak libatkan LLM, KKR

oleh Penyumbang Rencana|
Projek pembinaan rumah tol di Gohtong Jaya, Genting Highlands tidak dimaklumkan kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Kementerian Kerja Raya (KKR)

Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman menjelaskan sudah mendapat pengesahan berhubung pembinaan plaza tol di kawasan tersebut sejak 13 Oktober lalu.

"Saya telah mendapat pengesahan bahawa usaha pembinaan plaza tol di kawasan tersebut tidak melibatkan dan tidak dimaklumkan kepada LLM dan Kementerian Kerja Raya (KKR).

"Walau bagaimanapun, sebarang usaha projek pembangunan atau kemajuan di tanah persendirian haruslah mendapat Kebenaran Merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, setakat ini, pihak Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan kerajaan negeri Pahang tidak menerima apa-apa permohonan berkenaan pembinaan plaza tol ini.

"Oleh itu, arahan henti kerja telah dikeluarkan oleh MBK agar pihak pemaju menghentikan sebarang usaha-usaha lanjut pembinaan sehinggalah pihak pemaju menghantar permohonan untuk diteliti sebelum dinilai dan diluluskan," katanya.

Sebelum itu, Young Syefura turut mengambil maklum tentang isu yang sedang tular itu kerana ia menimbulkan keresahan pelbagai pihak.

"Untuk pengetahuan semua, Genting Highlands merupakan tanah persendirian. Sejak sekian lama jalan ke Genting Highlands diuruskan oleh pihak Genting Highlands sendiri," katanya.

Baru-baru ini, tular gambar pemasangan sebuah struktur di Jalan Batang Kali-Gohtong Jaya, sekali gus mendapat perhatian warganet yang membuat spekulasi berkemungkinan plaza tol bakal dibangunkan di situ.

Memetik laporan Sin Chew Daily, jurucakap Lingkaran Cekap Sdn Bhd mengesahkan pelaksanaan tol itu.

Syarikat tersebut akan mengendalikan tol, namun pemandu hanya dikenakan bayaran semasa ke Genting Highlands dan bukan ketika menuruni kawasan tanah tinggi itu.

Bagaimanapun, jurucakap syarikat berkenaan tidak dapat mengesahkan tarikh pelaksanaan dan kadar tol yang akan dikenakan.

Difahamkan syarikat itu bertanggungjawab terhadap jalan di Genting, termasuk cerun, tanah runtuh, membersihkan pokok tumbang, memotong rumput, sistem kumbahan serta lampu jalan dan menyelenggara jalan.

 

Sinar Harian

Berita Berkenaan

Berita Domestik
"Keseluruhan kos baik pulih jalan-jalan yang rosak akibat banjir di Kelantan berjumlah RM10.6 juta…
Berita Domestik
Menurutnya, aduan yang diterima akan disalurkan kepada agensi terlibat seperti Kementerian Kemajuan…
Berita Domestik
Menurut kenyataan itu, pemilihan tarikh pemberian tol percuma berkenaan, yang dipersetujui KKR dan…