AES akan dipasang di sekolah Taman Melawati hujung tahun ini

oleh HEZERI SAMSURI|
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Jabatan Pengangkutan Jalan atau JPJ mungkin akan memasang sistem kamera AES di kawasan sekolah di Taman Melawati selewat-lewatnya hujung tahun ini.

Ini berikutan petisyen online oleh  penduduk setempat dan dari wakil ibubapa pelajar di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati 2 (SKTM2) yang dikongsi bersama oleh media, termasuk Careta.

Petisyen tersebut meminta Menteri pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan JPJ untuk memasang sistem kamera AES di hadapan sekolah tersebut. 

Pihak kementerian terus bertindak selepas beberapa jam petisyen itu menjadi viral dan satu kajian segera dilakukan oleh Institut Keselamatan Jalanraya Malaysia (MIROS) dan JPJ ke atas kawasan jalanraya umum sekolah tersebut.

Diberitakan bahawa pihak Menteri sangat gembira akan tindakan proaktif penduduk setempat dan pihak ibubapa yang mahukan pihak kementerian masuk campur dalam memastikan keselamatan pelajar di zon sekolah.

Menurut Datuk Valluvan Veloo, pengarah penguatkuasa JPJ, satu lawatan kecemasan dilakukan oleh MIROS, JKR dan MPAJ Rabu lalu, sehari selepas petisyen dilancarkan.

"Saya akan menyerahkan laporan kajian pertama yang melibatkan keselamatan pelajar sekolah dan pejalan kaki serta keadaan trafik di kawasan itu kepada Menteri Pengangkutan dan juga Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron, secepat mungkin," ujar Valluvan ketika ditemuramah oleh Shahrim Tamrin dari The Sun Daily.

"Mulai minggi ini, MIROS akan memulakan kajian halaju di kawasan itu," sambung beliau.

Kajian MIROS akan mengandungi data-data termasuk kelajuan kenderaan di kawasan itu, jumlah trafik, 85 peratus kelajuan purata, perangai pengguna jalanraya dan juga keadaan jalanraya.

Petisyen online yang dilakukan tempohari menggesa pemasangan kamera AES di kawasan sekolah SKTM2 atas dasar keselamatan pelajar.

No uturn

Menurut petisyen tersebut, pemandu dan penunggang di situ melakukan pusingan U haram dan tidak mahu memperlahankan kenderaan masing-masing di laluan lintasan pelajar.

Diberitakan dua orang adik beradik yang merupakan pelajar di sekolah tersebut pernah di langgar kenderaan ketika melintas jalanraya. Salah seorang pelajar itu meninggal dunia dan seorang lagi mengalami kecederaan serius.

Petisyen itu turut mendakwa ada banyak kejadian yang hampir menjadi kemalangan akibat tindakan pengguna membuat pusingan U haram.

Valluvan sendiri merasa kecewa kerana beliau melihat kenderaan melakukan pusingan U haram di kawasan itu walaupun sudah nampak pegawai-pegawai JPJ tercegat berdiri di tepi jalan.

Menurut PIBG sekolah, mereka telah meminta bantuan pihak polis tetapi tidak menerima sebarang respon dari pihak tersebut.

Di bawah ialah petisyen tersebut. 

https://www.change.org/p/dear-jpj-transport-minister-we-want-road-safety-camera-under-awas-to-be-installed-in-front-of-sktm2-to-protect-the-school-kids

Di bawah ini ialah video pengguna jalanraya melakukan pusingan U haram.

https://www.youtube.com/watch?v=EGrGZyINrIE


Mungkin kawasan sekolah yang lain perlu membuat petisyen yang sama dan meminta pihak JPJ untuk membantu kerana peraturan jalanraya dikawal selia oleh JKR dan JKR menerima nasihat dari JPJ dan MIROS.

Tugas utama pihak polis trafik ialah untuk memastikan kedaulatan undang-undang dan mereka tidak boleh berada di setiap lokasi setiap hari.

Dalam erti kata lain, polis trafik ialah pengawas, JPJ ialah guru disiplin pelajar dan Kementerian Pengangkutan ialah gurubesar.