Adient Malaysia sedia jadi hab busa automotif Asia Tenggara

oleh Mohamad Hanif|
Adient Automotive Seating Sdn Bhd, anak syarikat kepada Adient PLC selaku peneraju global di dalam penghasilan tempat duduk automotif mengumumkan kilang busa terbaharu di Alor Gajah telah mula mengesksport komponen penyandar kepala ke pasaran Thailand dan Indonesia.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024

Kilang baharu bernilai RM10 juta itu dilengkapi dengan teknologi pengeluaran busa terkini dan mampu untuk memenuhi keperluan pasaran tempatan dan juga eksport.

Menurut Pengarah Urusannya, AJ Dabydin menjelaskan, "sejak tahun 1983, kami telah melabur secara konsisten untuk meningkatkan keupayaan pengeluaran, dan dengan kilang busa baharu di Alor Gajah, kami mempertingkatkan lagi operasi untuk menjadi hab eksport ke rantau Asia Tenggara.

Inisiatif itu bukan sahaja menggalakkan penghasilan komponen di dalam negara, malah Adient juga turut mencipta peluang pekerjaan yang lebih banyak kepada rakyat Malaysia.

Kilang di Alor Gajah itu menerapkan tanggungjawab terhadap alam sekitar, seperti sistem pengumpulan air hujan untuk mengurangkan kebergantungan kepada bekalan air, serta pemasangan panal solar untuk menaja kuasa elektrik.

Malah, fasiliti itu juga turut dilengkapi dengan peralatan rendah emisi karbon yang mendapat penarafan lima bintang, menggunakan lampu LED, serta menguruskan risiko berasaskan sistem pengurusan alam sekitar dan pensijilan yang berkenaan seperti ISO14001.

 


Strategi pembuatan Adient juga turut menggunakan konsep Industri 4.0 dengan teknologi automasi dan pembuatan pintar.

Dengan pelaksanaan sistem pembuatan KAPP yang pertama di Malaysia, kilang ini mapu mengumpulkan data pengeluaran yang besar daripada pelbagai peralatan secara langsung, selain menggunakan kaedah analitik visual untuk menambah baik hasil, mengurangkan kecacatan dan pembaikan produk, dan mengenal pasti punca isu-isu yang timbul menerusi penggunaan peta haba.

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan cemerlangnya kepada ekonomi Malaysia dalam penggunaan teknologi busa inovatif dan lestari, serta pelaksanaan amalan terbaik dalam bidang pembuatan, kilang Adient di Alor Gajah baru-baru ini muncul sebagai pemenang dalam kategori Perkhidmatan Automotif di Anugerah Perniagaan Antarabangsa Malaysia 2021 anjuran SBR.