Adakah ini kapal terbang terhodoh di dunia?

oleh HEZERI SAMSURI|
Kapal terbang adalah antara produk mekanikal yang sering dipuji dan dipuja kerana bentuknya.

Ada yang nampak agresif, ada yang nampak canggih, ada yang bersaiz besar dan nampak gah, ada yang biasa-biasa tetapi seperti biasa, ada yang dinobatkan sebagai hodoh.

Majalah Popular Mechanics dari US pula menobatkan sebuah pesawat dari Poland sebagai kapal terbang paling hodoh pernah dibina - PZL M-15 Belphegor.

Di dalam bahasa Hebrew, Belphegor ialah salah seorang dari tujuh anak syaitan. Menarik bukan? 

Ia dibina 48 tahun lalu (1973) sehingga 1981 dan sejarah wujudnya Belphegor ini ialah kerana Soviet Union mahukan sebuah pesawat untuk kerja-kerja pertanian di ladang-ladang besar. 

Untuk memastikan ia mampu terbang dalam kelajuan rendah, sayap jenis bertingkat (biplane) dipilih tetapi ini menjadikan tempat enjinnya diletakkan tinggi di atas. 

Lokasi enjin itu sebenarnya berguna untuk memastikan tidak ada benda asing masuk ketika meluncur di lapangan terbang di ladang-ladang dan juga untuk tidak mengganggu penyebaran racun dari belakang pesawat anak syaitan ini.

 

 

Enjin ialah satu unit A1-25 turbofan dan ia mampu terbang pada kelajuan 200 kmsj.
Kelajuan meluncur (cruising speed) ialah antara 140 ke 165 kmsj dan kelajuan paling perlahan untuk pegun (stall) ialah 108 kmsj.

Kargo maksimum ialah hampir 3 tan dan jarak perjalanan sebelum perlu diisi bahan api ialah 400 km.

Belphegor pernah dikatakan akan dijual sebanyak 3,000 unit tetapi ternyata gagal dari segi populariti.

Kegagalan itu bukan kerana bentuknya, tetapi kos pembuatan yang tinggi, jarak penerbangan yang tidak begitu jauh (ini ialah pesawat biplane terberat dalam kategorinya), tangki racun yang tidak praktikal, juruterbang yang perlu dilatih khusus untuk menerbangkan syaitan itu dan akhirnya, kos penyelenggaraan yang tinggi.

Oleh kerana itu, hanya dan cuma 175 unit sahaja terbina sepanjang usianya.