Namun, ramai yang mungkin lupa pada tahun 1997, generasi pertama Toyota Prius lahir sebagai kereta hibrid produksi besar-besaran yang pertama di dunia.
Ketika kenderaan elektrik kini sudah menjadi satu kelaziman di sesetengah pasaran, Toyota sedang berusaha untuk memastikan semua pihak mendapat akses kepada teknologi yang lebih bersih - seperti sistem sel bahan api (FCEV) dan enjin dengan suapan bahan api hidrogen.
Presiden Akio Toyoda memberitahu pemberita ia mungkin akan mengambil masa yang lama untuk semua pihak mencapai sasaran sifar emisi, disebabkan penjualan kenderaan elektrik hanya membentuk peratusan kecil sahaja.
"Jika hanya kereta baharu sahaja yang menggunakan elektrik, kita sukar untuk mencapai sasaran neutral karbon. Kita harus mempertimbangkan kenderaan yang masih lagi beroperasi.
Pilihan yang baik adalah dengan mengubah mana-mana kereta lama menjadi sebuah kenderaan elektrik, atau mengubahsuai enjin dengan suapan bahan api hidrogen, jelasnya lagi.
Strategi hijau terbaharu Toyoda ini cuba dibuktikan menerusi pengenalan dua buah model AE86 (Trueno dan Levin), di mana kedua-dua model tersebut telah diubahsuai menjadi sebuah kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kereta berkuasa hidrogen (H2).
"Saya tidak mahu meninggalkan golongan pencinta automotif di belakang," ujar Akio Toyoda semasa muncul di Tokyo Auto Salon baru-baru ini, dan beliau mahu membuktikan Toyota tidak ketinggalan jauh di belakang di dalam arena kenderaan elektrik.
Idea mengubah kereta-kereta konvensional menjadi sebuah EV bukanlah perkara baru, ia telah pun direalisasikan oleh beberapa pihak sebelum ini.
Malah, Toyota sendiri turut bereksperimen dengan bahan api hidrogen bagi menggantikan peranan petrol di dalam enjin pembakaran dalaman menerusi jentera lumba Corolla Sport sebagai satu alternatif kepada EV.
"Kereta lumba perlu mempunyai not ekzos yang tersendiri" - Keiichi Tsuchiya.
Sumber: Time, Motor Biscuit