Acura SLX, SUV lama dengan enjin VTEC Turbo AWD 350 hp!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Ini projek luar biasa di mana Honda sendiri mengubahsuai kereta lama. Projek begini biasanya dibuat oleh bengkel untuk pemilik persendirian. Honda mengambil inisiatif untuk membaik pulih SUV Acura SLX tahun 1997 dan memasangnya dengan enjin baharu.

Projek ini dibuat untuk RADwood pada 7 Disember iaitu sebuah pameran khusus untuk kenderaan era 80an dan 90an.

Jika ada yang perasan SLX ini menyamai sebuah lagi SUV jenama lain, jawapannya ialah tepat sekali. Acura SLX dibangunkan dengan kerjasama Isuzu dan dijual dari model tahun 1996 hingga 1999. 

Lebih menarik apabila SLX merupakan SUV pertama Acura yang kemudian digantikan dengan MDX dan RDX.
PERODUA MREC Banner Campaign February 2024
HONDA CR-V MREC Banner Campaign March 2024
Acura SH-SLX

 

Pada awal 90an, Acura menyedari terdapat potensi besar dalam segmen SUV. Acura kemudian melancarkan SLX pada November 1995 dan menjadi SUV pertama dari pengeluar kenderaan premium Jepun.

SLX dikeluarkan oleh Isuzu untuk Acura dan mempunyai keupayaan 4x4 dengan ciri-ciri mewah. SLX membolehkan Acura menjejakkan kaki ke dalam segmen SUV mewah sementara SUV buatan sendiri iaitu MDX dibangunkan dan dilancarkan pada 2001.

Sepanjang penawaran SLX, sebanyak 6,590 unit dijual dan jumlah itu tidak besar mana. Acura memperakui prestasi tersebut dan tetap bermanfaat dengan memberikan pengalaman beharga dan pemahaman dalam pasaran SUV masa depan. 

Acura SH-SLX

 

Mengetuai projek pengubahsuaian SLX ini ialah jurutera Acura dan pelumba Pikes Peak iaitu James Robinson, Paul Hubers dan Jordan Guitar.

Enjin asal SLX iaitu 3.2L V6 dengan transmisi automatik empat kelajuan dan pacuan 4x4 konvensional ditukar kepada enjin baharu Acura yang berkuasa 350 hp dan tork 461 Nm.

Enjin 2.0L VTEC® Turbo itu bukan biasa-biasa kerana ditala mengikut spesifikasi perlumbaan. Enjin itu dipadan bersama transmisi sepuluh kelajuan dengan sistem torque-vectoring Super-Handling All-Wheel Drive™ (SH-AWD®) yang diambil daripada Acura RDX generasi ketiga.

 

Acura SH-SLX

 

Bagi mengekalkan keaslian Acura SLX era 90an, perubahan luar dan dalam dibuat dengan sedikit sahaja. Warna dua tona asal  Fir Green Metallic diganti dengan Performance Red Pearl dan perak.

Tayar asal ditukar kepada jenama Yokohama Geolander A/T dengan roda 17 inci Fifteen52 Tarmac.

Penutup tayar ganti daripada kanvas ditukar kepada jenis kotak keras dan pada bahagian belakang dilekatkan logo SH-AWD sebagai tanda kacukan moden.

Bahagian dalam diperbaharui dengan balutan kulit Milano pada kerusi dan kemasan kayu kelabu pada panel pintu dan papan pemuka.

 

Acura SH-SLX

 

Satu lagi keistimewaan SLX ini ialah pemilik sebelumnya iaitu Tyson Hugie merupakan seorang peminat dan pengumpul kenderaan Acura.

Beliau masih lagi memiliki kereta pertamanya iaitu Acura Legend Coupe tahun 1994 dengan jarak perbatuan 920,544 km dan pernah dibawa ke 38 buah negeri termasuk Alaska.

Di antara koleksi kenderaan Acura yang dimiliki ialah Legend tahun 1994, Integra GS-R tahun 1992, NSX Formula Red tahun 1992 dan terbaru SLX tahun 1996 warna Radiant Red bagi menggantikan SLX yang dijadikan kereta projek ini.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

Berita Berkenaan

Berita Global
Panggilan semula itu menjejaskan lebih 750,000 unit kereta Honda dan Acura keluaran dari 2020…
Berita Global
Perkara itu disahkan sendiri oleh CEO Honda, Toshihiro Mibe dalam satu temubual oleh laman Autocar…
Berita Global
Menurut laporan, masalah ini berpunca daripada komponen pendesak pam bahan api yang tidak dibentuk…