Acura Integra Type S HRC Prototype tampil garang, tiada kerusi belakang!

oleh Muhammad Md Tajudin|
Acura Integra Type S HRC Prototype
Acura Integra Type S HRC Prototype
Peminat Honda di Amerika Syarikat (AS) bertuah kerana ditawarkan pelbagai model menarik sejak dulu lagi.

Benar, Civic Type R hanya dibawa masuk secara rasmi sejak dua generasi lalu namun masih banyak model menarik.

Di antara yang pernah dan masih ditawarkan seperti Civic dan Accord Coupe, Civic Si, pikap Ridgeline dan pelbagai kenderaan utiliti sukan.

Model Type S pula diketengahkan sebagai varian berprestasi.
 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Selain model-model tersebut, pelanggan boleh menikmati kemewahan dan prestasi melalui Acura.

Ruang kosong yang ditinggalkan Civic Type R generasi terdahulu nampaknya dinikmati sepuas hati sekarang ini.

Sebagai contoh pelanggan di sana boleh membeli Civic Type R FL5 dan Acura Integra Type S sekaligus.

Adakah pengguna di luar AS dapat peluang yang sama? Tidak.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype

 

Ini satu lagi berita yang hanya boleh dinikmati secara bacaan oleh peminat di luar AS.

Acura memperkenalkan Integra Type S HRC Prototype yang menjadi pentas untuk perkakasan prestasi Honda Racing Corporation (HRC).

Projek ini diketuai oleh HRC US (dahulunya HPD) dengan tumpuan pembangunan pada meningkatkan kesemua ciri-ciri pengalaman pemanduan.

Di antaranya enjin, ampaian dan prestasi pembrekan serta penurunan berat bagi menunjukkan potensi Integra Type S dan meningkatkan prestasi di jalan raya dan litar.

 

Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Direka di Studio Reka Bentuk Acura di Los Angeles, gayaan agresif model prototaip ini menarik perhatian pada setiap sudut.

Bukan sekadar kecantikan, rekaannya memanfaatkan pengalaman teknikal dari program pembangunan aerodinamik kereta lumba Integra Type S TCX.

Rekaan dibuat bagi meningkatkan daya mendap dan menambah baik kestabilan pada kelajuan tinggi.

Bahagian depan menyerlah dengan pemisah depan besar, saluran penyejukan, liang tukup lebih besar dan pemisah sisi.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Jika Civic Type R mempunyai spoiler tinggi, begitu juga Integra Type S HRC dengan spoiler gentian karbon boleh laras.

Kit badan yang menyerlah ditonjolkan lagi dengan warna terang Indy Yellow Pearl dan pertama kali diguna pada NSX sebelum ini.

Logo HRC aluminium pada jeriji, dapra depan dan but sama seperti jentera lumba Honda dan Acura di dalam IndyCar, IMSA dan Formula 1.

Bagi meningkatkan prestasi keseluruhan, kereta ini menjalani program pelangsingan melalui penggunaan perkakasan gentian karbon.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Bahan itu digunakan untuk pembuatan tukup, panel pintu belakang dan kerusi Recaro.

Kerusi belakang ditanggalkan dan ditutup dengan panel gentian karbon dan menariknya dijadikan tempat menyimpan empat rim dan tayar.

Untuk lebih ringan, penyaman udara boleh dicabut dan berat keseluruhan dikurangkan hampir 90.7 kilogram daripada Integra Type S.

Pengendalian kereta dioptimumkan dengan ampaian 15 milimeter (mm) lebih rendah.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Turut dipasang bar antigoleng belakang boleh laras dan plet kamber depan dan belakang boleh laras sama seperti kereta lumba Integra Type S HRC TCX.

Rim tempa ringan saiz 19 x 9.5 inci dan ofset negatif menambah lebar trek depan dan belakang sebanyak 30 mm.

Bukan sahaja meningkatkan pengendalian, tetapan tersebut juga menyerlahkan 'fitment' dan serta merta nampak agresif.

Rim tersebut dipadan bersama tayar Pirelli P Zero Trofeo R saiz 265/30ZR19.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Bagi memperkuatkan casis dan menyediakan pautan untuk tali pinggang keledar, dinding belakang dipasang pendakap bentuk silang dan dalam warna kuning.

Bahagian dalam kereta juga meriah dengan tali pinggang dan riasan kuning dan balutan Alcantara hitam.

Prestasi pembrekan diberi perhatian melalui angkup aluminium Brembo® enam omboh dan cakera 15 inci atau 1.4 inci lebih besar berbanding Integra standard.

Bahagian belakang juga menggunakan cakera dua bahagian (two piece) dan mengurangkan lagi berat tak berpegas.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Saluran udara besar pada bahagian depan kereta meningkatkan prestasi penyejukan brek dengan menghantar lebih banyak udara ke cakera depan.

Berkenaan enjin, model ini bernadikan 2.0 liter VTEC Turbo dan dipertingkat dengan interpendingin, penyejuk minyak berkembar dan sistem ekzos cat-back.

Semua perkakasan tersebut dibangunkan untuk kereta lumba Integra Type S HRC TCX.

Acura tidak menyatakan prestasi dan sebagai rujukan, Integra Type S memiliki 320 kuasa kuda (hp) pada 6,500 rpm dan tork 420Nm dari 2,600 sehingga 4,000 rpm.

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024

 

Kuasa itu sedikit tinggi berbanding Civic Type R pasaran AS dengan 315 hp pada 6,500 rpm dan daya kilas kekal sama.

Sebagai model prototaip, pengguna di AS belum tentu berpeluang untuk mendapatkannya dan pintu akan terbuka sekiranya dihasilkan.

Pengguna di luar AS pula tengok saja kerana model asas Integra Type S memang tidak wujud.

Penulis: Muhammad Md Tajudin

 

 Acura Integra Type S HRC Prototype 2024